Usia emas bukan pengakhiran

Iklan
Kano (kanan) bersama penerima anugerah HAPI yang meraikan inovasi bagi membantu masyarakat menua menjalani kehidupan lebih sihat, sejahtera dan inklusif.

KUALA LUMPUR - Menjadi warga emas bukan bermakna seseorang perlu terpinggir daripada kehidupan masyarakat, sebaliknya peluang untuk terus aktif, berhubung dan menikmati kehidupan bermakna perlu sentiasa terbuka.

Semangat itu terserlah menerusi Anugerah Healthy Aging Prize for Asian Innovation (HAPI) edisi kelima yang meraikan inovasi bagi membantu masyarakat menua menjalani kehidupan lebih sihat, sejahtera dan inklusif.

Iklan
Iklan

Majlis anjuran Japan Center for International Exchange (JCIE) dan Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA) itu mengetengahkan usaha yang meletakkan kesejahteraan warga emas sebagai keutamaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCIE, Isao Kano berkata, penganjuran anugerah itu di Malaysia tepat pada masanya ketika negara sedang bersedia menghadapi perubahan demografi penduduk.

Iklan

“Malaysia dijangka menjadi sebuah negara tua dalam tempoh kira-kira 20 tahun apabila penduduk berusia 65 tahun ke atas diunjurkan merangkumi lebih 14 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

“Penganjuran Anugerah HAPI di Kuala Lumpur merupakan peluang yang tepat pada masanya untuk mengiktiraf inisiatif perintis serta berkongsi pendekatan inovatif yang boleh membantu masyarakat menangani cabaran dan memanfaatkan peluang yang timbul akibat peningkatan populasi warga emas,” katanya.

Iklan

Menurut Isao, HAPI bukan sekadar mengiktiraf pencapaian, malah membuka ruang kepada perkongsian pengetahuan serta kerjasama merentas negara dan sektor.

Beliau berkata, pendekatan yang berjaya dilaksanakan di sesuatu komuniti berpotensi menjadi inspirasi kepada masyarakat lain, selagi disesuaikan dengan keperluan setempat.

Edisi kelima HAPI mengiktiraf 14 organisasi dari tujuh negara dan wilayah termasuk Jepun, Korea Selatan, Hong Kong SAR, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina.

Tiga Anugerah Utama diberikan bagi kategori Penjagaan dan Kesejahteraan, Penglibatan Sosial serta Persekitaran yang Menyokong, yang masing-masing membawa pendekatan berbeza dalam memperkasa kehidupan warga emas.

Frailty Prevention Team dari The University of Tokyo, Jepun, menerima Anugerah Utama kategori Penjagaan dan Kesejahteraan menerusi inisiatif komuniti yang membantu warga emas mencegah atau memulihkan kerapuhan fizikal.

Usaha diwakili Profesor Katsuya Iijima, Pengarah Institute of Gerontology itu turut menggalakkan gaya hidup lebih sihat dan hubungan sosial, membuktikan kesejahteraan warga emas bukan hanya bergantung pada penjagaan fizikal.

Di Korea Selatan, NOLLUWA menerima Anugerah Utama kategori Penglibatan Sosial menerusi inisiatif Local Libero for Regional Revitalization and Sustainability yang menggalakkan kerjasama antara generasi serta menghidupkan semula komuniti luar bandar.

Fukuoka City, Jepun, pula menerima Anugerah Utama kategori Persekitaran yang Menyokong menerusi Fukuoka Dementia-Friendly Design, yang berusaha menjadikan ruang awam lebih mudah diakses dan inklusif kepada individu yang hidup dengan demensia.

Ketiga-tiga inovasi itu membawa mesej bahawa masyarakat menua perlu dibina dengan mengambil kira keperluan manusia, bukan sekadar angka pertambahan penduduk, termasuk ruang untuk berinteraksi dan menjalani kehidupan dengan lebih bermaruah.

HAPI turut mengiktiraf penyertaan pelbagai organisasi seperti pertubuhan komuniti, badan bukan berasaskan keuntungan, kerajaan tempatan dan syarikat perniagaan dalam menghasilkan pendekatan inovatif bagi masyarakat menua.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengunjurkan penduduk berusia 65 tahun ke atas di Asia Timur dan Asia Tenggara mencecah 590 juta menjelang 2050, sekali gus memperlihatkan betapa pentingnya usaha membina masyarakat yang lebih mesra warga emas.