Guru dipenjara empat bulan, denda RM15,000 terima rasuah RM5,000

Iklan
Tertuduh (tengah) ketika hadir ke Mahkamah Tawau.

TAWAU - Seorang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dijatuhkan hukuman penjara selama empat bulan dan denda RM15,000 di Mahkamah Khas Rasuah, di sini selepas didapati bersalah menerima wang sebanyak RM5,000 daripada seorang kontraktor pada 2020.

Tertuduh, Abdul Samad Amara, 48, turut diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Iklan
Iklan

Hakim Jason Juga menjatuhkan hukuman itu selepas mendengar rayuan mitigasi tertuduh dan hujahan pihak pendakwaan.

Menurut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang tunai RM5,000 daripada pemilik sebuah syarikat di dalam sebuah kenderaan Perodua Myvi di Taman Univila, di sini pada 11 September 2020.

Iklan

Wang berkenaan diterima ketika tertuduh mengetahui lelaki terbabit mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Ketua Unit Infrastruktur dan Pembangunan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau.

Ia berkaitan kerja baik pulih dan penyelenggaraan di Sekolah Kebangsaan (SK) Balung, Tawau bernilai RM223,247 yang dianugerahkan kepada syarikat milik individu terbabit.

Iklan

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Norsham Saharom, manakala tertuduh diwakili peguamnya, Muhammad Abdul Karim.

Sebelum itu, pihak pembelaan memohon mahkamah menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara itu, namun mengarahkan tertuduh membayar denda RM15,000 serta merta.