Penduduk sokong penempatan baharu Bukit Malut

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Selasa.

LANGKAWI - Cadangan membangunkan penempatan baharu untuk penduduk Bukit Malut dilihat mampu menjadi penyelesaian jangka panjang terhadap isu penempatan yang berlarutan sejak puluhan tahun lalu.

Penduduk Langkawi, Mohd Fuad Abdullah, 63, berkata, cadangan Kerajaan Kedah supaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengambil tanah bagi tujuan berkenaan wajar dipertimbangkan demi menyediakan kawasan perumahan yang lebih tersusun dan selamat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, langkah itu juga boleh membantu menangani pelbagai isu kemudahan asas di penempatan sedia ada yang berdepan kekangan susulan masalah pemilikan tanah.

“Tidak ada isu pun jika Kerajaan Kedah mahu tampil membina penempatan baharu dengan cadangan MKN mengambil tanah.

Iklan

“Kawasan tersebut perlu diberikan perhatian kerana lebih 5,000 penduduk tinggal di situ. Banyak kemudahan yang tidak dapat diselaraskan dengan baik seperti elektrik dan air kerana isu pemilikan tanah,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Kerajaan Kedah supaya MKN mengambil tanah bagi membolehkan penempatan baharu dibangunkan untuk penduduk Bukit Malut dengan harga rumah dicadangkan di bawah RM200,000.

Iklan

Mohd Fuad berkata, pembangunan penempatan baharu secara terancang juga berupaya mengurangkan persepsi negatif terhadap masyarakat di kawasan berkenaan yang sering dikaitkan dengan etnik Rohingya.

Katanya, penduduk Bukit Malut turut memainkan peranan dalam sektor ekonomi Langkawi, khususnya industri perikanan.

Seorang lagi penduduk Langkawi, Nur Qisya Mohd Hisham, 25, berkata, isu penempatan Bukit Malut perlu diberikan perhatian sewajarnya bagi memastikan penduduk dapat menikmati kediaman yang lebih selamat dan selesa.

Menurutnya, berdasarkan pengalamannya berkunjung ke rumah rakan di kawasan berkenaan, kehidupan penduduk Bukit Malut tidak jauh berbeza dengan masyarakat setempat.

“Saya berkawan dengan beberapa penduduk yang tinggal di Bukit Malut dan tidak ada yang berbeza pun dengan kita kerana mereka juga kaum Melayu, bercakap bahasa Melayu dan beragama Islam.

“Saya selalu pergi ke rumah mereka di Bukit Malut. Kehidupan biasa seperti kampung-kampung lain, cuma agak sempit kerana jarak rumah dekat-dekat,” katanya.

Dalam pada itu, generasi pertama yang menghuni Bukit Malut, Abas Salam, 62, berharap cadangan penempatan baharu berkenaan dapat direalisasikan selepas sekian lama menanti untuk memiliki kediaman sendiri.

Katanya, harga rumah sekitar RM200,000 dilihat masih berpatutan dengan kemampuan majoriti penduduk yang bekerja sebagai nelayan dan bekerja sendiri.

“Seperti yang Menteri Besar Kedah cakap, kalau boleh penempatan baharu itu perlu berhampiran kawasan laut kerana rata-rata penduduk Bukit Malut bekerja sebagai nelayan dan pendapatan harian mereka bergantung kepada hasil laut.

“Jika ada peluang untuk membeli dan memiliki rumah sendiri, pasti kehidupan penduduk lebih selesa dan saya berharap perkara ini akan menjadi kenyataan,” katanya.