RAFFCOMM pacu identiti digital dipercayai

Iklan
Raffcomm Group dan Tekun Nasional menjalinkan usahasama dalam ekosistem digital merangkumi DCTC dan kerangka digital lain sebagai CA.

PENINGKATAN penggunaan kecerdasan buatan (AI) menjadikan ancaman seperti penipuan digital dan pemalsuan identiti semakin kompleks berikutan imej, suara, video, e-mel dan dokumen palsu mampu dihasilkan dengan sangat meyakinkan.

Organisasi tidak lagi boleh bergantung pada apa yang dilihat atau didengar, sebaliknya perlu mengesahkan identiti pihak yang berkomunikasi, sumber kandungan dan integriti dokumen.

Iklan
Iklan

Pengarah Urusan RAFFCOMM Group, Arief Adly Datuk Md Afendi berkata, apabila semakin banyak urusan dilakukan secara digital, kepercayaan tidak lagi boleh dibina hanya berdasarkan apa yang dipaparkan pada skrin.

“Masyarakat dan organisasi perlu mengubah cara melihat identiti digital kerana ia bukan sekadar akaun untuk log masuk ke sesuatu sistem sebaliknya aset yang perlu dilindungi.

Iklan

“Teknologi ini tidak menentukan sama ada sesuatu kandungan ‘nampak benar’, tetapi membantu membuktikan siapa atau peranti mana yang menghasilkan atau menandatanganinya, bila tindakan itu berlaku dan sama ada kandungan telah diubah,” katanya kepada Bisnes Sinar.

Arief Adly

Iklan

Menurut Arief Adly, RAFFCOMM Group membantu memastikan pihak yang berurusan secara digital benar-benar ialah individu, organisasi atau sistem yang sah menerusi Public Key Infrastructure (PKI), yang mengeluarkan dan mengurus sijil digital bagi menghubungkan sesuatu identiti yang telah disahkan dengan kunci kriptografi.

“PKI merupakan antara kekuatan teras RAFFCOMM Group dan tulang belakang kepada digital trust. Ia memastikan identiti digital seseorang, organisasi atau sistem benar-benar boleh disahkan, bukan sekadar berdasarkan username, password atau apa yang dipaparkan pada skrin,” katanya.

Jelasnya, sijil digital membolehkan tandatangan digital digunakan untuk mengesahkan siapa yang menandatangani, memastikan dokumen tidak diubah selepas ditandatangani serta menyediakan bukti yang boleh disahkan secara bebas.

Ia penting untuk transaksi bernilai tinggi, urusan yang dikawal selia dan dokumen yang mempunyai implikasi undang-undang.

Katanya lagi, dalam kes scam atau transaksi melalui marketplace di atas talian yang popular, cabaran utama ialah memastikan siapa sebenarnya pihak yang sedang berurusan.

“Melalui Electronic Know Your Customer (eKYC), ia memastikan individu yang berada di sebalik sesuatu transaksi benar-benar individu yang didakwanya, bukan identiti yang dicuri, identiti sintetik, akaun palsu atau penyamaran menggunakan teknologi seperti deepfake.

“Electronic Know Your Business (eKYB) pula memastikan organisasi benar-benar wujud dan sah, maklumat pendaftarannya tepat, serta individu yang bertindak atau menandatangani bagi pihak organisasi mempunyai kuasa berbuat demikian.

“Ini termasuk pengesahan maklumat syarikat, pengarah, wakil yang diberi kuasa dan, apabila relevan, pemunya benefisial,” katanya.

Pendekatan itu membantu mengurangkan risiko berurusan dengan pihak yang tidak disahkan dan membina kepercayaan sebelum sesuatu transaksi berlaku.

Dalam pelaksanaan e-Invois pula, terdapat beberapa model operasi yang boleh digunakan organisasi, termasuk penggunaan penyedia Enterprise Resource Planning (ERP) atau pengantara yang diberi kuasa untuk menghantar e-Invois bagi pihak pelanggan.

Model ini membantu memudahkan integrasi dan mempercepatkan pelaksanaan, khususnya bagi syarikat yang menggunakan sistem ERP atau platform pihak ketiga untuk menguruskan proses e-Invois mereka.

Namun, apabila ekosistem digital semakin matang, terdapat peluang untuk memperkukuh lagi tahap kepercayaan digital (digital trust) dengan mengaitkan setiap syarikat kepada sijil digitalnya sendiri, yang dipautkan terus kepada identiti perniagaan dan nombor cukai syarikat berkenaan.

Pendekatan ini membolehkan setiap transaksi e-Invois mempunyai identiti digital lebih jelas, sekali gus meningkatkan akauntabiliti, kebolehkesanan dan jejak audit.

Ia juga memudahkan untuk mengenal pasti dengan tepat syarikat yang bertanggungjawab terhadap sesuatu transaksi.

Dalam konteks ini, penyedia ERP atau pengantara kekal memainkan peranan penting sebagai pemudah cara teknologi, manakala identiti digital dan autoriti transaksi kekal dikaitkan secara langsung kepada syarikat yang diwakili.

Secara jangka panjang, pendekatan ini dapat menyokong ekosistem e-Invois yang lebih selamat selari dengan perkembangan eKYC, eKYB dan identiti digital.

Ujar Arief, potensi penyelesaian digital oleh RAFFCOMM Group merentasi dua tema besar iaitu digital trust dan kelestarian.

“Bagi digital trust, sektor kerajaan, kewangan, kesihatan, pendidikan, perkhidmatan profesional dan perdagangan digital memerlukan identiti yang disahkan untuk akses sistem, tandatangan kontrak, kelulusan, pengesahan dokumen dan transaksi antara organisasi.

“Untuk kelestarian, rantaian bekalan yang tertakluk kepada tuntutan ESG, EUDR, ESPR dan Pasport Produk Digital memerlukan rekod yang boleh dikesan dan dipercayai.

Arief Adly

Permintaan meningkat

Identiti digital, tandatangan dan cap masa boleh membantu mengesahkan pihak yang mengeluarkan data, sumber produk dan sejarah perubahan sesuatu rekod.

Jelasnya, permintaan dijangka terus meningkat di Malaysia dan ASEAN apabila lebih banyak perkhidmatan menjadi digital dan perdagangan rentas sempadan memerlukan bukti elektronik yang boleh diterima pelbagai pihak.

Hala tuju RAFFCOMM Group ialah menjadikan proses ini disahkan secara digital, diautentikasi secara digital dan diintegrasikan secara digital.

Tegas Arief, walaupun negara mempunyai peruntukan perundangan mencukupi bagi mendepani kes kecurian, penyamaran dan penyalahgunaan identiti digital seperti Akta Tandatangan Digital 1997 yang mengawal tandatangan digital dan Certification Authority berlesen, pemain industri perlu menawarkan perkhidmatan keselamatan, pengesahan identiti dan perlindungan transaksi lebih selamat serta dipercayai.

Mengulas bagaimana identiti digital boleh mempercepatkan transformasi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), Arief berkata, kontrak, permohonan, kelulusan dan transaksi boleh dilakukan secara digital dengan identiti yang dapat disahkan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada dokumen fizikal, tandatangan manual dan proses pengesahan berulang.

“Malaysia mempunyai sekitar 9.697 juta syarikat berdaftar merangkumi semua sektor, tidak termasuk Sabah dan Sarawak.

“Apabila kita memudahkan digitalisasi PMKS, kita sebenarnya membantu mentransformasikan sebahagian besar ekosistem perniagaan Malaysia.

“Justeru, RAFFCOMM Group melihat keperluan membangunkan penyelesaian yang mudah diakses, praktikal dan mampu milik, supaya identiti digital dan tandatangan digital bukan hanya untuk perusahaan besar, tetapi juga perniagaan mikro dan kecil,” katanya.

RAFFCOMM Group turut membangunkan penyelesaian berkaitan pelesenan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di mana proses antara perniagaan dan kerajaan boleh didigitalkan, daripada permohonan dan pengesahan maklumat perniagaan sehingga kepada kelulusan dan pengeluaran lesen.

Pada masa sama, sebagai Certification Authority (CA) berlesen Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, penyedia perkhidmatan rasmi SSM e-Info, serta penerbit wang elektronik bukan bank yang diluluskan dan dikawal selia Bank Negara Malaysia, RAFFCOMM Group mahu merapatkan jurang antara dasar dengan pelaksanaan melalui perkhidmatan digital trust yang selamat, mudah digunakan dan boleh diaudit.

“Kami mahu menjadi peneraju dalam bidang digital trust dengan memastikan setiap identiti, dokumen dan transaksi digital dapat disahkan, dilindungi serta dipertanggungjawabkan,” katanya.

Tambahnya, Malaysia telah bersedia dari segi penerimaan terhadap identiti dan bukti digital didorong oleh penerimaan perbankan digital, eWallet, e-Dagang dan perkhidmatan kerajaan secara dalam talian.

Ke hadapan, RAFFCOMM Group turut merancang penubuhan Yayasan Hak Digital untuk meningkatkan kesedaran dan perlindungan hak digital masyarakat.

“Ini selari dengan misi kami untuk melindungi dunia dengan membina ekosistem digital yang lebih selamat, dipercayai dan bertanggungjawab,” katanya.