Kerjasama Zeekr-EON perluas rangkaian pasaran EV premium

Iklan
Zeekr Malaysia memeterai Perjanjian Pengedar dengan EON sekali gus menandakan langkah strategik dalam usaha berterusan memperluas rangkaian jualan dan perkhidmatan selepas jualan jenama itu di Malaysia.

ZEEKR Intelligent Technology Malaysia (Zeekr Malaysia) memeterai Perjanjian Pengedar dengan Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) sekali gus menandakan satu lagi langkah strategik dalam usaha berterusan memperluas rangkaian jualan dan perkhidmatan selepas jualan jenama itu di Malaysia.

Sebagai antara peruncit automotif pelbagai jenama terkemuka di Malaysia, EON mempunyai pengalaman luas dalam operasi peruncitan automotif dan pengurusan pelanggan, khususnya dalam segmen kenderaan elektrik (EV).

Iklan
Iklan

Kerjasama itu akan memperkukuh akses pelanggan dan menyokong portfolio kenderaan elektrik premium Zeekr yang semakin berkembang, terdiri daripada Zeekr X, Zeekr 009 serta Zeekr 7X.

Pengurus Besar Zeekr Intelligent Technology Malaysia, Eddy Lu berkata, kerjasama dengan EON bukan sekadar mengenai peluasan rangkaian jualan.

Iklan

“Di Zeekr, kami komited untuk mengutamakan pelanggan dan memastikan setiap interaksi dengan jenama ini menyumbang kepada pengalaman pemilikan yang positif.

“Dengan pengalaman luas EON dalam peruncitan automotif dan tumpuannya terhadap pelanggan, kami berharap dapat memperkukuh kehadiran kami serta menyokong pertumbuhan berterusan Zeekr di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EON Berhad, Akkbar Danial berkata, pihaknya berharap dapat bekerjasama rapat bagi memperkukuh kehadiran dan capaian Zeekr dalam pasaran Malaysia.

"Pada masa sama, tumpuan EON terhadap tahap perkhidmatan pelanggan, sokongan dan penjagaan tinggi sepanjang setiap peringkat pemilikan kenderaan,” katanya.

Terdahulu, wakil EON mengunjungi fasiliti Zeekr di China bagi mendapatkan gambaran secara langsung mengenai teknologi, keupayaan pembuatan dan pendekatan jenama itu terhadap mobiliti elektrik.

Lawatan tersebut turut mengukuhkan keyakinan EON terhadap Zeekr dan membuka laluan kepada Perjanjian Pengedar yang ditandatangani baru-baru ini.

Di bawah fasa pertama kerjasama itu, EON akan mengendalikan Zeekr Pop-up Store di Aras Bawah, G45, AEON Mall Shah Alam, dengan operasi dijangka bermula pada Oktober 2026.

Berkeluasan kira-kira 1,340 kaki persegi, kedai pop-up itu akan mewujudkan kehadiran jualan Zeekr di Shah Alam, selain menyediakan lokasi mudah diakses untuk pelanggan mengenali jenama berkenaan dan menerokai rangkaian kenderaan elektrik premium terdiri daripada Zeekr X, Zeekr 009 serta Zeekr 7X.

Pelanggan juga berpeluang berinteraksi secara langsung dengan wakil Zeekr bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kenderaan serta tawaran pemilikan yang disediakan oleh jenama itu.

Kedai pop-up tersebut akan berfungsi sebagai titik hubungan dengan pelanggan sementara Zeekr House Glenmarie sedang dibangunkan, sekali gus menyediakan akses kepada jenama berkenaan sebelum pembukaan fasiliti jualan dan perkhidmatan selepas jualan khusus itu.

Fasa seterusnya kerjasama itu pula menyaksikan penubuhan Zeekr House Glenmarie, sebuah fasiliti khusus yang menghimpunkan perkhidmatan jualan, penyerahan kenderaan dan selepas jualan di bawah satu bumbung.

Dijangka siap pada suku pertama 2027, Zeekr House Glenmarie akan menyediakan pengalaman pelanggan yang lebih menyeluruh, meliputi perjalanan daripada mengenali dan membeli kenderaan, sehinggalah kepada proses penyerahan serta penjagaan selepas jualan secara berterusan.

Penubuhan Zeekr House Glenmarie turut mencerminkan komitmen Zeekr Malaysia dan EON untuk memperkukuh akses pelanggan serta sokongan pemilikan kenderaan di Lembah Klang.

Melangkah ke hadapan, Zeekr Malaysia akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi automotif berpengalaman bagi memperluas rangkaian jualan dan perkhidmatan selepas jualan, selain membangunkan ekosistem pemilikan yang lebih kukuh dan mudah diakses oleh pelanggan di seluruh Malaysia.