SHIANG Lung Supply Sdn Bhd salah satu pemborong serta pengedar produk makanan laut kering terbesar di Asia Tenggara yang berpangkalan di Sabah memanfaatkan sumber semula jadi negeri ini dalam menghasilkan produk bernilai tambah bagi pasaran tempatan dan antarabangsa.
Operasi syarikat yang berkembang pesat menyaksikan Shiang Lung mempunyai kira-kira 130 orang pekerja sekali gus mencerminkan potensi perusahaan tempatan dalam menjana nilai komersial, di samping mewujudkan peluang pekerjaan untuk komuniti setempat.
Ia juga terkenal giat mengeksport produk sarang burung walit ke Hong Kong, Singapura serta pasaran lain.
Produk sarang burung walit keluaran syarikat ini mendapat pensijilan Halal sekali gus membuka peluang lebih luas dalam meneroka pasaran pengguna Muslim termasuk di rantau Teluk.
Pengarah Urusan Shiang Lung Supply Sdn Bhd, Kent Lim berkata, pihaknya berbangga menjadi sebuah syarikat yang berpangkalan di Sabah dan membina perniagaan dengan memanfaatkan kepelbagaian serta kekayaan yang dimiliki Sabah.
“Daripada sarang burung kepada perut ikan dan gamat, produk-produk ini mempunyai kaitan yang sangat erat dengan negeri asal kami. Kami melihatnya sebagai satu tanggungjawab untuk membangunkan produk-produk ini dengan teliti serta membawa kualitinya ke pasaran yang lebih luas.
“Kami berharap dapat terus mengembangkan perniagaan yang telah kami bina di Sabah dan membuktikan kemampuan perniagaan tempatan untuk mencapai kejayaan di peringkat yang lebih luas,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kent turut berkongsi, syarikat kini mengambil langkah untuk memposisikan produknya bagi menembusi pasaran baharu termasuk negara majoriti Muslim.
“Kami menyedari potensi pasaran majoriti Muslim dan melihat peluang untuk mengembangkan perniagaan sedia ada dengan menjangkau segmen pelanggan baharu, khususnya di rantau Teluk.
“Justeru, kami melabur dalam usaha mendapatkan pensijilan Halal sebagai persediaan untuk meneroka peluang-peluang tersebut.
“Kami melihat langkah ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk membina asas yang lebih kukuh bagi menyokong fasa pertumbuhan Shiang Lung serta pengembangan jangka panjang,” katanya.
Terkini syarikat berkenaan menerima kunjungan Pengerusi Sabah Development Berhad (SDB), Datuk Dr Yusof Yacob yang berkesempatan melawat fasiliti pemprosesan sarang burung walit, operasi pemprosesan hempedu ikan dan timun laut serta premis runcit syarikat bagi melihat perkembangan portfolio produk dan operasi syarikat.
Turut hadir semasa kunjungan ialah tokoh korporat dan pelabur, Datuk Ananth S Nathan serta Penasihat kepada Shiang Lung Supply Sdn Bhd, Datuk Muhammad Dean Lau Abdullah.
Lawatan tersebut merangkumi tinjauan ke atas proses pengeluaran minuman sarang burung premium Shiang Lung, bermula daripada proses pembersihan sehingga pembotolan dan pembungkusan, selain meninjau koleksi produk premium seperti perut ikan dan gamat.
Menurut Yusof yang juga merupakan bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan bekas Ahli Parlimen Sipitang, sumber semula jadi Sabah, sama ada dari daratan mahupun lautan, menawarkan pelbagai peluang kepada pihak perniagaan dan pelabur untuk membangunkan produk serta menjana nilai ekonomi yang lebih besar kepada negeri tersebut.
“Saya amat menyokong usaha sedemikian kerana terdapat pelabur yang berminat untuk melabur di Sabah bagi meneroka peluang perniagaan.
“Sabah merupakan sebuah negeri yang kaya dengan sumber semula jadi, sama ada dari laut mahupun daratan. Terpulang kepada kita untuk mengolah serta membangunkan produk daripada sumber-sumber yang ada,” katanya.
Tambah Yusof, apabila syarikat terus berkembang dan memperluaskan penawaran produk keadaan ini secara tidak langsung dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah sekali gus memberi manfaat yang merangkumi para pekerja dan ahli keluarga mereka.
Perkembangan ini juga berpotensi membuka lebih banyak peluang kepada para graduan, lepasan kolej dan institusi pengajian tinggi, serta usahawan tempatan, khususnya dalam sektor logistik, rantaian bekalan dan perkhidmatan sokongan.
Pada masa sama, Shiang Lung turut berjaya mengembangkan perniagaannya di peringkat antarabangsa dengan produk sarang burungnya dieksport ke Hong Kong, Singapura dan pasaran lain.
Selain itu, syarikat ini turut mengendalikan rangkaian perniagaan yang merangkumi aktiviti pemborongan, pengedaran, pemprosesan dan peruncitan.
Ujar Yusof, syarikat yang mempunyai skala operasi dan sumber yang mencukupi untuk membangunkan produk tempatan boleh memainkan peranan penting dalam mempromosikan hasil keluaran Sabah ke pasaran antarabangsa.
“Pelabur yang mempunyai skala dan sumber yang mencukupi boleh membantu mempromosikan produk serta hasil keluaran Sabah.
“Sebagai contoh, Shiang Lung mempunyai produk sarang burung dan produk lain yang dieksport ke luar negara. Apabila produk-produk ini dipasarkan dengan label ‘Produk Sabah’, secara tidak langsung ia turut membawa nama Sabah ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau turut menekankan peranan pameran perdagangan dan aktiviti promosi dalam membantu perniagaan tempatan berhubung dengan bakal pembeli serta rakan niaga, dengan China, Dubai dan Eropah antara pasaran dan platform yang boleh diterokai.
Selain memperluaskan pasaran, Yusof berkata perkembangan perniagaan tempatan seperti Shiang Lung turut membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Sabah, termasuk golongan graduan dan anak muda yang ingin membina kerjaya atau menceburi bidang perniagaan.
Beliau menggalakkan lebih ramai anak muda Sabah untuk mempertimbangkan bidang keusahawanan sebagai pilihan kerjaya, sambil menegaskan bahawa sebuah perniagaan boleh dibangunkan secara berperingkat dari peringkat asas.
Bagi bakal usahawan Bumiputera, beliau turut menekankan kepentingan membina pengetahuan dan pengalaman, di samping memanfaatkan sokongan yang disediakan oleh agensi seperti Sabah Credit Corporation, Agrobank, MARA dan TEKUN.
“Kerjasama serta perkongsian ilmu dengan usahawan yang lebih berpengalaman juga dapat membantu usahawan baharu dalam memperkukuh keupayaan, mengembangkan perniagaan dan meningkatkan potensi pertumbuhan perniagaan mereka,” katanya.