Karangkraf penerima Anugerah Merdeka, CGC lancar skim jaminan RM10b perkukuh PMKS

Iklan
Penasihat dan Pengasas Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub (kanan) menerima Anugerah Merdeka disampaikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Mohamed Nazri. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

[KEMAS KINI] KUMPULAN Karangkraf dinobatkan penerima Anugerah Merdeka pada edisi ke-31 CGC Awards 2025.

Anugerah itu disampaikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Credit Guarantee Corporation Malaysia Ber­had (CGC), Mohamed Nazri Omar kepada Penasihat Karangkraf, Datuk Husaamuddin Yaacub.

Iklan
Iklan

Majlis tersebut dihadiri Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour serta lebih 300 tetamu kehormat termasuk pemimpin kanan institusi kewangan (FI), institusi kewangan Islam (IFI), institusi kewangan pembangunan (DFI), agensi kerajaan, rakan strategik dan PMKS penerima anugerah.

Sebanyak 32 anugerah disampaikan menerusi kategori Anugerah Rakan FI Terbaik dan Rakan Bukan FI Terbaik, Penghargaan Khas (Citation of Merits) serta Anugerah PKS, selain Anugerah Pengiktirafan Khas Bumiputera.

Iklan

Dalam pada itu, CGC melancarkan Skim Ja­minan Portfolio (PG) dan Jaminan Portfolio-i (PG-i) BNM-CGC bernilai RM10 bilion bagi memperluas akses pem­biayaan dan perkukuh Peru­sahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di seluruh negara.

Skim berkenaan dijangka membolehkan pembiayaan dijamin sehingga RM10 bilion menerusi model perkongsian risiko bersama institusi kewangan yang mengambil bahagian, sekali gus memberi manfaat kepada anggaran 12,100 PMKS merentasi sektor ekonomi utama.

Iklan

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada majlis tersebut, Abdul Rasheed berkata, ukuran kejayaan sebenar bukan berdasarkan jumlah pembiayaan disediakan.

"Sebaliknya sama ada perniagaan yang menerima sokongan menjadi lebih kukuh, berdaya tahan, berdaya saing dan menyumbang secara bermakna kepada ekonomi," katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Mohamed Nazri Omar berkata, pencapaian penerima anugerah tahun ini mencerminkan kekuatan dan dinamisme ekosistem keusahawanan Malaysia.

"CGC percaya PMKS yang berdaya tahan adalah tonggak utama kepada ekonomi yang kukuh dan mampan, manakala skim jaminan BNM-CGC itu menjadi pencapaian penting dalam meluaskan akses pembiayaan dan memperkasa perniagaan mengejar peluang pertumbuhan," katanya.