KUALA LANGAT - Pertengkaran berkaitan kecurian peralatan pekebun dan buah kelapa sawit dipercayai menjadi motif seorang pemilik kebun dibunuh di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Kelambu, Banting di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, mangsa berusia 49 tahun ditemukan keluarganya yang keluar mencari lelaki tersebut.
Menurutnya, susulan kejadian itu, seramai lapan suspek lelaki termasuk warga asing berusia antara 20 hingga 70 tahun ditangkap bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, polis turut menjalankan semakan terhadap kesemua suspek bagi mengenal pasti sama ada mereka mempunyai rekod jenayah lampau atau sebaliknya.
Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebatan sekurang-kurangnya 12 kali jika sabit kesalahan.
Jelasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil di balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222 bagi membantu siasatan.
Sinar Harian sebelum itu melaporkan polis menerima laporan berhubung penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira jam 5 petang pada Ahad lalu.
Difahamkan, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala.