PEREIRA - Colombia mengisytiharkan darurat pada Isnin selepas gempa bumi kuat berukuran 7.4 magnitud mengorbankan sekurang-kurangnya 111 penduduk dan merosakkan lebih 1,500 bangunan.
Setakat ini, jumlah mangsa yang masih tertimbus di bawah runtuhan belum diketahui.
Gempa bumi itu menggegarkan beberapa bandar di seluruh wilayah pengeluar kopi Colombia dan pantai Pasifik sehingga menyebabkan penduduk yang ketakutan bergegas keluar ke jalan raya.
Menurut Sputnik/RIA Novosti memetik laporan rangkaian radio Colombia, Blu Radio, sebanyak 19 bangunan runtuh di bandar Cali di barat Colombia akibat gempa bumi tersebut.
Menurut laporan itu, terdapat mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan manakala pasukan penyelamat sedang menjalankan operasi di lokasi kejadian.
Bandar Cali dan Pereira di barat Colombia turut mengalami gangguan komunikasi.
Orang ramai difahamkan sedang berdepan kesukaran untuk menghubungi perkhidmatan kecemasan berikutan talian telefon sesak.
Gangguan komunikasi di beberapa bandar lain di negara itu, termasuk ibu negara Bogota dilaporkan mengalami masalah isyarat secara berkala.
Terdahulu, Pusat Seismologi Eropah-Mediterranean melaporkan gempa bumi berukuran 6.8 skala Richter melanda Colombia.
Pakar seismologi Eropah kemudiannya memaklumkan magnitud gempa itu menaik kepada 7.4, manakala pakar Amerika Syarikat (AS) turut memberikan penilaian hampir sama.
Pusat gempa dilaporkan terletak berhampiran bandar San Jose del Palmar di wilayah Choco.
Pihak berkuasa memberi amaran jumlah korban mungkin meningkat ketika pasukan penyelamat mencari mangsa di bangunan runtuh di beberapa bandar.
Di Manizales terdapat banyak bangunan rosak, termasuk menara katedral neo-Gothik yang menjadi kebanggaan penduduk bandar berkenaan.
Presiden Abelardo de la Esperiella yang mengangkat sumpah jawatan tiga hari lalu mengisytiharkan keadaan darurat dan berikrar Colombia akan terus melangkah ke hadapan bersama-sama.
Gempa itu dirasai di seluruh Colombia, termasuk ibu negara Bogota apabila orang ramai bergegas keluar ke jalan raya dengan masih memakai pakaian tidur.
Pada kedalaman 110 kilometer (km), gempa itu turut dirasai di negara jiran Ecuador dan Panama.
Pakar di Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa itu berkemungkinan berpunca daripada pergerakan pada sesar yang terletak jauh di dalam plat tektonik Nazca.
Enam lapangan terbang menghentikan operasi, menurut agensi penerbangan awam.
Malah, semua perlawanan bola sepak profesional yang akan datang ditangguhkan.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio memaklumkan pihaknya memantau keadaan dengan teliti sambil menyatakan kesediaan untuk membantu rakyat Colombia.
Ketua Kesatuan Eropah (EU), Ursula von der Leyen berkata, EU menggerakkan Copernicus iaitu perkhidmatan satelit bagi membantu operasi menyelamat.
Amerika Latin masih berdepan kesan dua gempa bumi dahsyat yang melanda Venezuela pada Jun lalu, mengorbankan lebih 6,000 orang dan mengakibatkan kemusnahan besar.