BANGKOK – Pihak berkuasa Bangkok mengisytiharkan bencana banjir di seluruh ibu negara Thailand pada Sabtu selepas hujan lebat hampir 48 jam menyebabkan terusan melimpah, jalan raya ditenggelami air dan penduduk terpaksa meredah banjir.
Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengisytiharkan status bencana bagi kesemua 50 daerah, sekali gus memberikan kuasa khas kepada pihak berkuasa tempatan untuk mengambil tindakan menangani situasi berkenaan.
Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt menggesa penduduk kekal di rumah selepas hampir 300 milimeter (mm) hujan turun sejak Khamis.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul pula dilaporkan memendekkan lawatannya ke London untuk pulang susulan bencana tersebut.
Seorang peniaga, Somkid Pheuk-ngam, 67, yang tinggal berhampiran terusan di utara pusat Bangkok berkata, paras air di kawasannya mencecah pinggang.
“Saya tidak boleh ke mana-mana dan sudah menutup kedai selama dua hari. Saya rasa kali ini lebih buruk daripada banjir 2011,” katanya kepada AFP.
Banjir besar yang melanda Thailand pada 2011 meragut lebih 500 nyawa dan merosakkan jutaan kediaman.
Chadchart berkata, keadaan banjir setakat petang Sabtu sudah mula stabil dan air dijangka surut sekiranya tiada hujan tambahan.
“Jika hujan berhenti, dijangka mengambil masa dua hingga tiga hari untuk mengalirkan keluar air banjir,” katanya.
Hujan hampir berterusan sejak petang Khamis menyebabkan rangkaian terusan Bangkok dipenuhi air sebelum melimpah ke rumah, restoran, kedai dan lorong berhampiran.
Sekurang-kurangnya 13 jalan turut dinaiki air, manakala penduduk di beberapa kawasan terpaksa meredah banjir.
Kira-kira 980 penduduk ditempatkan di pusat perlindungan sementara, sementara 36 pesakit terlantar dipindahkan ke hospital.
Kawasan timur Bangkok dan lokasi berhampiran terusan antara yang paling teruk terjejas sehingga penduduk diminta memindahkan barangan ke tempat lebih tinggi.
“Masalah kami ialah terusan sudah penuh.
“Kami bekerjasama dengan wilayah berhampiran untuk mengalirkan air melalui laluan lain bagi mengurangkan jumlah yang memasuki Bangkok,” kata Chadchart.
Stesen pam di bandar raya itu beroperasi pada kapasiti penuh dengan keseluruhan kira-kira 1,200 meter padu air sesaat dipam keluar.
Petugas perbandaran turut membersihkan sampah di sepanjang jalan bagi memastikan sistem perparitan tidak tersumbat.
Bangkok yang pernah digelar ‘Venice of the East’ dibangunkan di kawasan bekas tanah paya dan terletak kira-kira 1.5 meter di atas paras laut.
September merupakan kemuncak musim hujan di Bangkok, namun jumlah hujan tahun ini lebih tinggi daripada kebiasaan.
Ibu negara itu merekodkan 487mm hujan dari 1 hingga 25 September, berbanding purata hampir 269mm bagi tempoh sama berdasarkan rekod 1991 hingga 2020.
Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand turut memberi amaran mengenai tekanan udara rendah yang dijangka mempengaruhi bahagian timur, timur laut dan tengah negara itu sehingga Ahad. – AFP