PONTIAN – Keretakan pada rumah penduduk di beberapa kampung di Mukim Sungai Karang di sini didakwa semakin ketara setiap kali treler membawa sisa binaan dari Singapura melalui laluan berkenaan.
Ketua Kampung Kawasan Dua Mukim Sungai Karang, Abdullah Mohd Said berkata, selain menjejaskan kediaman, pergerakan kenderaan berat itu turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk, terutama penunggang motosikal.
Menurutnya, treler yang membawa sisa binaan untuk dibuang di daerah ini dipercayai menggunakan laluan berkenaan sejak kira-kira dua tahun lalu kerana kedudukannya lebih dekat dengan Jambatan Sungai Pulai sebelum meneruskan perjalanan ke tapak pelupusan yang dipercayai milik persendirian.
Antara kawasan yang didakwa terjejas termasuk Simpang Kiri, Peradin, Belokok, Sungai Punai, Sungai Senai, Parit Kudus dan Sungai Pungai.
Abdullah berkata, keretakan pada kediamannya di Kampung Peradin semakin ketara sejak kebelakangan ini susulan kekerapan treler membawa sisa binaan melalui laluan berhampiran.
“Retak ini memang sudah ada sejak beberapa tahun lalu, tetapi sejak kebelakangan ini kita nampak semakin jelas.
“Setiap kali treler lalu, terutama apabila dipandu laju, kita boleh rasa gegaran. Sebab itu penduduk mula risau keadaan rumah akan menjadi lebih teruk,” katanya.
Beliau berkata, penduduk tidak menolak aktiviti ekonomi atau pergerakan kenderaan berat di kawasan berkenaan, namun aspek keselamatan serta kesan terhadap kediaman penduduk perlu diberi perhatian.
Katanya, keadaan lebih membimbangkan apabila dianggarkan lebih 20 treler berulang-alik sehingga lewat malam.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Ahmad Daud Saeng, 59, berkata, peningkatan jumlah kenderaan berat turut menyebabkan keadaan jalan dan persekitaran di kawasan berkenaan semakin tidak selesa.
Menurutnya, ketika cuaca panas, habuk daripada laluan terbabit mudah berterbangan dan memasuki kawasan rumah penduduk, manakala keadaan menjadi lebih teruk apabila hujan.
“Kalau panas, habuk memang banyak. Tengok sahaja daun pokok di sekitar rumah, ada yang sudah diselaputi debu.
“Kalau hujan pula, jalan jadi lecak dan kotor. Kenderaan yang baru dibasuh pun cepat kotor semula apabila melalui jalan ini,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna jalan raya, khususnya kanak-kanak dan penunggang motosikal yang menggunakan laluan berkenaan.
Katanya, penduduk bimbang risiko kemalangan meningkat sekiranya lori besar terus menggunakan laluan sama tanpa kawalan, terutama pada waktu malam.
“Yang kita paling risau adalah keselamatan anak-anak sekolah dan penduduk yang menggunakan jalan ini.
“Lori besar keluar masuk pada waktu malam dan ada yang dipandu laju. Kita harap ada pemantauan supaya kelajuan serta pergerakan lori dapat dikawal,” katanya.
Ahmad Daud berkata, penduduk sebelum ini sudah mengemukakan aduan kepada pihak berkaitan.
Justeru, beliau berharap pihak berkuasa termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis, pihak berkuasa alam sekitar dan pihak berkuasa tempatan turun padang bagi meninjau keadaan serta menjalankan pemeriksaan terhadap operasi lori terbabit.
“Kita bukan mahu menghalang lori atau aktiviti yang dijalankan, tetapi kita mahu ada kawalan dan pemantauan.
“Kalau boleh, periksa keadaan jalan, lori yang digunakan dan juga kesan kepada rumah penduduk supaya ada penyelesaian,” katanya.