Dua pengarah syarikat didakwa gagal bayar cukai, penalti RM193,306

Iklan
Karen Lo (kiri) dan Lim Hoou Cheng mengaku tidak bersalah ke atas pertuduhan atas tujuh pertuduhan gagal menjelaskan cukai perkhidmatan dan penalti berjumlah RM193,306.28.

GEORGE TOWN – Dua pengarah syarikat pembuatan roda kastor (besi troli) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen 2 di sini atas tujuh pertuduhan gagal menjelaskan cukai perkhidmatan dan penalti berjumlah RM193,306.28.

Lim Hooi Cheng, 54, dan Karen Lo, 40, sebagai orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua mereka yang merupakan orang kena cukai di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 2018 didakwa gagal menjelaskan bayaran cukai bagi tujuh tempoh bercukai antara Januari 2024 hingga Disember 2025.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Seberang Perai dengan jumlah tunggakan cukai dan penalti bagi tujuh tempoh bercukai terbabit ialah RM193,306.28.

Iklan

Kedua-dua OKS didakwa mengikut Seksyen 26(9) Akta Cukai Jualan 2018 kerana melanggar Seksyen 26(5) akta sama dengan tidak membuat bayaran cukai dalam tempoh ditetapkan.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Iklan

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, Mohamad Syafiq Abdul Aziz manakala Karen diwakili peguam P Ghandi.

Hooi Cheng pula hadir tanpa diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 September depan untuk sebutan semula kes serta bagi memberi ruang kepada Hooi Cheng mendapatkan khidmat peguam, sekiranya ada.