IPOH - Seorang anggota tentera maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di simpang tiga Lebuh Meru Raya di sini pada Jumaat.
Mangsa, Mohamad Nasiruddin Hussin, 23, yang merupakan anggota Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD), disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 7.30 pagi.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku ketika kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu seorang wanita berusia 21 tahun membelok keluar dari simpang sebelum berlaku pelanggaran dengan motosikal jenis Honda RS ditunggang mangsa.
"Pemandu kereta bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 8.50 pagi semasa menerima rawatan di hospital berkenaan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan, termasuk kemungkinan faktor titik buta pandangan pemandu," katanya.
Muhammad Najib berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) diminta tampil membantu siasatan.
"Sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh," katanya.
Difahamkan, mangsa ketika kejadian dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Taman Chepor Jaya selepas selesai mengikuti Program Qiamulail Perdana di Masjid An Nur Gua Permai, Kem Syed Putra di sini.
Mangsa dikatakan mahu menukar pakaian sebelum kembali ke kem bagi melaksanakan tugas.