Isa Samad jalani pembedahan mata, SPRM tangguh rakaman keterangan

Iklan
SPRM menangguhkan proses rakaman keterangan terhadap bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad susulan beliau menjalani pembedahan mata di Hospital Serdang.

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangguhkan proses rakaman keterangan terhadap Datuk Seri Isa Samad, berikutan bekas Pengerusi FELDA itu menjalani pembedahan mata di Hospital Serdang.

Ketua Pengarah SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman memaklumkan, proses berkenaan akan bersambung selepas veteran politik itu pulih sepenuhnya.

Iklan
Iklan

"Sepatutnya (keterangan) diambil semalam dan hari ini, tetapi terpaksa tangguh dahulu memandangkan beliau tidak sihat.

"Apabila sudah sihat, kami akan sambung. Banyak lagi hendak dirakam daripada beliau," katanya demikian di sidang akhbar Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan di sini pada Jumaat.

Iklan

Isa,76, kini menjalani hukuman penjara enam tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2026 mengembalikan sabitan dan hukuman terhadapnya atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3.09 juta.

Pertuduhan itu berkaitan penerimaan suapan melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip, daripada bekas Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel, sebagai dorongan untuk membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak, oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Iklan

Dalam perkembangan sama, SPRM memaklumkan tujuh kes membabitkan agensi itu disiasat pihaknya.

Ujar Abd Halim, Jabatan Peguam Negara telah memberikan izin untuk mendakwa dua individu iaitu bekas pengurus besar FELDA dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif FELDA Investment Corporation.

Menurutnya, bekas pengurus besar FELDA berdepan satu pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK), manakala bekas Ketua Pegawai Eksekutif FELDA Investment Corporation pula menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 417 KK.

Pertuduhan terhadap kedua-dua individu berkenaan dijadualkan masing-masing pada 29 dan 30 September ini.