KUALA LUMPUR - Seorang lelaki Pakistan yang tular berkaitan kenderaan berlogo Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) diberkas pada Ahad.
Tangkapan dilaksanakan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya di sebuah kondominium di Setapak di sini kira-kira jam 4.30 petang.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, lelaki Pakistan terbabit dipercayai merupakan individu di dalam video tular berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut di dalam premis tersebut turut menemukan seorang wanita Indonesia yang didapati telah tinggal lebih masa di negara ini.
"Lelaki tersebut ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959/63, manakala wanita Indonesia itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, susulan tangkapan tersebut, pasukan operasi mengesan sebuah Toyota Hilux yang dipercayai digunakan di dalam video tular tersebut di sebuah kedai cuci kenderaan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur dan didapati pemiliknya merupakan seorang warga Pakistan.
Jelas Zakaria, pemeriksaan ke atas premis tersebut bertindak menangkap lapan lelaki warga asing terdiri daripada empat Bangladesh, tiga Pakistan serta seorang India merupakan pekerja kedai cuci kenderaan tersebut.
"Seorang lelaki Pakistan terbabit merupakan pemilik kenderaan tersebut ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, manakala yang lain disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c)Akta Imigresen 1959/63," ujarnya.
Kata beliau, hasil siasatan awal terhadap individu yang terlibat di dalam video tular tersebut mendapati video tersebut diambil pada April 2025 dan baru dimuat naik dalam status WhatsApp oleh isterinya pada 7 Ogos lalu.
"Isteri kepada individu tersebut berada di Indonesia dan video tersebut dimuat naik ketika isterinya berada di Indonesia.
"Pemilik kenderaan berkenaan mengakui memasang logo JIM dan lampu mata arah tersebut sekadar untuk kegunaan peribadi tanpa sebarang tujuan rasmi dan mendakwa tidak mengetahui ianya menjadi kesalahan undang-undang," katanya.
Tambahnya, pemilik tersebut juga menyatakan logo JIM dan lampu mata arah tersebut telah dibuang sebelum video tersebut tular lagi.
Tegas Zakaria, kesemua yang ditahan berserta kenderaan telah dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan dan siasatan lanjut.
"JIM tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan logo atau identiti jabatan yang boleh mengelirukan orang ramai atau menjejaskan imej dan integriti jabatan," ujarnya.