Kepulan asap di Menara Seri Wilayah cetus perhatian orang ramai

Iklan
Kebakaran hanya melibatkan bahagian dapur kafe dan tidak membabitkan struktur utama bangunan.

PUTRAJAYA – Kepulan asap yang kelihatan keluar dari Menara Seri Wilayah, Presint 2, di sini dan tular di media sosial pada Jumaat dipercayai berpunca daripada kebakaran di bahagian dapur sebuah kafe di bangunan berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya, Penguasa Bomba Muhamad Haziq Hazmi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 kira-kira jam 8.03 pagi.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Presint 7 bersama 14 anggota segera digerakkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 8.04 pagi, kira-kira seminit selepas panggilan kecemasan diterima,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Sebelum ini, satu rakaman video yang memaparkan kepulan asap keluar dari Menara Seri Wilayah tular di media sosial dan menarik perhatian orang ramai.

Muhamad Haziq berkata, hasil pemeriksaan mendapati kebakaran hanya melibatkan bahagian dapur kafe dan tidak menjejaskan struktur utama bangunan.

Iklan

“Pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan serta pemantauan bagi memastikan tiada lagi punca haba atau kebakaran yang masih aktif.

“Kerja-kerja pengudaraan dilaksanakan dengan mengaktifkan kipas ekzos sedia ada serta menggunakan kipas ekzos mudah alih bagi membantu mengeluarkan asap dan haba dari kawasan terlibat,” katanya.

Beliau berkata, operasi berjaya dikawal pada jam 8.16 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.15 pagi.

“Tiada kemalangan jiwa atau mangsa dilaporkan dalam kejadian tersebut,” katanya.