ISU pelarian bukan sahaja membelenggu Malaysia, sebaliknya menjadi cabaran global yang semakin rumit apabila konflik bersenjata, penganiayaan, keganasan dan ketidakstabilan politik memaksa jutaan manusia meninggalkan negara dan kediaman masing-masing.
Data terkini Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menunjukkan 117.8 juta orang di seluruh dunia berada dalam keadaan terpaksa berpindah pada akhir 2025, termasuk 41.6 juta pelarian, kira-kira sembilan juta pencari suaka dan 68.7 juta individu menjadi pelarian di dalam negara sendiri.
Angka itu menunjukkan isu pelarian bukan sekadar persoalan kemanusiaan, tetapi turut berkait rapat dengan keselamatan sempadan, ekonomi, pekerjaan, pendidikan dan hubungan diplomatik.
Namun, persepsi bahawa negara maju menjadi destinasi utama pelarian tidak sepenuhnya tepat.
Sebanyak 68 peratus pelarian dan individu yang memerlukan perlindungan antarabangsa sebenarnya ditempatkan di negara berpendapatan rendah dan sederhana manakala 65 peratus berlindung di negara jiran.
Colombia, Jerman, Turkiye, Uganda dan Iran antara negara yang menempatkan jumlah terbesar pelarian.
Lima negara itu secara keseluruhannya menempatkan kira-kira satu pertiga daripada jumlah global.
Situasi ini memperlihatkan negara yang berhampiran dengan kawasan konflik sering menjadi tempat perlindungan pertama sebelum mempertimbangkan destinasi lain.
Turkiye misalnya menjadi antara negara utama yang menerima pelarian akibat konflik di Syria.
Pendekatan Ankara merangkumi pendaftaran, perlindungan sementara dan akses kepada perkhidmatan tertentu, namun jumlah besar pelarian turut menimbulkan tekanan terhadap ekonomi serta perkhidmatan awam.
Di Jerman, pendekatan lebih tertumpu kepada sistem suaka yang formal melalui proses pendaftaran dan penilaian sebelum status mereka ditentukan.
Uganda pula memperlihatkan pendekatan berbeza apabila memberikan ruang kepada pelarian untuk tinggal di penempatan tertentu dan menjalankan aktiviti ekonomi. Ia bertujuan mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan.
Dalam konteks Malaysia, UNHCR merekodkan kira-kira 215,600 pelarian dan pencari suaka berdaftar pada akhir Februari 2026. Daripada jumlah itu, 193,824 berasal dari Myanmar, termasuk 126,144 Rohingya, manakala 21,776 lagi berasal dari lebih 50 negara lain seperti Pakistan, Yemen, Somalia, Afghanistan, Syria dan Sri Lanka.
Malaysia bukan negara penandatangan Konvensyen Pelarian 1951, menyebabkan pengurusan pelarian dilakukan dalam kerangka undang-undang dan dasar domestik.
Persoalan lebih besar ialah siapa yang patut menanggung beban pengurusan pelarian?
Data UNHCR menunjukkan tanggungjawab itu masih tidak seimbang.
Atas sebab itu, Global Compact on Refugees yang diterima PBB pada 2018 menekankan prinsip perkongsian tanggungjawab yang lebih adil.
Kerangka itu menggalakkan negara berkongsi beban. Justeru, pengurusan pelarian yang berkesan memerlukan tiga perkara utama; perlindungan segera, perkongsian tanggungjawab dan penyelesaian jangka panjang.
Negara tuan rumah perlu memastikan keselamatan serta keperluan asas pelarian, manakala masyarakat antarabangsa perlu membantu dari segi kewangan, penempatan semula dan pembangunan.