KOTA BHARU - UMNO tidak pernah menafikan atau menutup sebarang kelemahan mahupun membela salah laku berkaitan tadbir urus Lembaga Tabung Haji (TH), kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Menurut beliau, sekiranya benar wujud salah laku, rasuah atau sebarang bentuk penyelewengan, tindakan perlu diambil tanpa mengira kedudukan individu terbabit.
ARTIKEL BERKAITAN: RCI Tabung Haji: Taklimat khas BN Isnin ini
RCI Tabung Haji: SPRM selesai rakam keterangan bekas CFO
RCI Tabung Haji: Tiga individu direman lima hari
"Kalau ada salah laku, kalau ada rasuah, kalau ada 'sakau' yang disebutkan itu, sepatutnya 2018 tu adalah tahun yang terbaik.
"Takut waktu itu ramai pihak yang kena dakwa. Tetapi kenapa dah hampir sembilan tahun ini tak ada seorang pun yang kena dakwa?" katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.
Sebelum itu beliau hadir merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Bharu, Empat Peringkat Tahun 2026 di Dewan UMNO Negeri Kelantan di sini.
Terdahulu media melaporkan UMNO perlu mengakui terdapat kelemahan dalam tadbir urus TH ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) dari 2014 hingga 2017 seperti yang didedahkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai agensi itu minggu lalu.
Menurut bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, beliau memahami kenyataan beberapa pemimpin UMNO menyusuli penemuan RCI itu termasuk menafikan wujudnya penyelewengan atau rasuah dalam pengurusan TH, terutama ketika berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.
Ujar Asyraf Wajdi, isu TH akan dibahaskan di Parlimen pada 13 Ogos ini dan menyerahkan kepada ahli Parlimen untuk membincangkan laporan RCI berkenaan institusi berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berpandangan skop siasatan dan kajian RCI tidak seharusnya hanya terhad hingga 2018 dan 2020, sebaliknya turut meliputi tempoh selepas itu.
"Mana mungkin kita membandingkan sesuatu yang hanya berlaku sebelum kerajaan BN jatuh kerana banyak juga faktor lain yang kita harus ambil kira.
"Sistem digunakan yang dipertikaikan sebelum siasatan RCI dilakukan dan juga selepas skop itu diperluaskan. Saya rasa ini penting untuk rakyat mendapatkan maklumat yang sebenar," katanya.
Menurut beliau, rakyat juga berhak mengetahui perkara sebenar dan mendapat pembelaan sekiranya terdapat sebarang salah laku.
"Kalau misalnya benar ada salah laku, ada rasuah, ada sebarang bentuk penyelewengan, ambil tindakan. Jangan ada pun siapa yang terkecuali. Sama ada orang besar mahupun orang yang kecil.
"Itu yang paling penting sekali," katanya.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi memberitahu, aspek tadbir urus yang perlu diperbaiki wajar ditambah baik tanpa sebarang rasa apologetik.
Beliau berkata, perkara sama dilakukan dalam konteks Majlis Amanah Rakyat (Mara), termasuk proses penggubalan akta baharu yang dijangka dibentangkan di Parlimen sebelum hujung tahun ini.
"80 peratus intipati akta itu adalah berkenaan dengan tadbir urus.
"Kalau di Mara kita boleh buat, kenapa institusi-institusi lain yang kita tak boleh buat?" katanya.
Ujar beliau, isu tadbir urus mula mendapat perhatian serius di peringkat antarabangsa sejak pertengahan 1990-an susulan beberapa skandal korporat di Amerika Syarikat termasuk Enron, Arthur Andersen dan K-Mart.
Katanya, Akta TH yang diwujudkan pada era 1960-an juga tidak terkecuali daripada keperluan untuk ditambah baik dari aspek tadbir urus.