PRN Melaka: Senjata rahsia parti saat akhir mampu pengaruhi pengundi atas pagar - Penganalisis

Iklan
Parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dijangka menggunakan pelbagai strategi atau 'senjata rahsia' pada saat akhir kempen PRU16. Gambar kecil: Dari kiri, Syahruddin, Hussain

SHAH ALAM - Parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dijangka menggunakan pelbagai strategi atau 'senjata rahsia' pada saat akhir kempen bagi meraih sokongan terutamanya dalam kalangan pengundi atas pagar dan golongan muda.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad berkata, tempoh tiga hingga empat hari terakhir sebelum hari pengundian merupakan fasa penting kerana pengundi masih belum membuat keputusan bagi menentukan pilihan masing-masing.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Barisan Nasional (BN) berkemungkinan menggunakan tawaran pembangunan sosioekonomi tempatan dan jaminan kestabilan pentadbiran negeri sebagai strategi utama, mengambil kira kedudukannya sebagai kerajaan penyandang.

Bagi Perikatan Nasional (PN) pula kata beliau, parti itu dijangka memanfaatkan isu salah guna kuasa dan kelemahan tadbir urus pihak lawan, selain memperhebat kempen menerusi media sosial seperti TikTok untuk menarik sokongan pengundi muda.

Iklan

"Pakatan Harapan (PH) pula boleh menggunakan naratif penstrukturan semula dasar kebajikan dan perpaduan sebagai modal penting untuk mempengaruhi pengundi di kawasan bandar serta kawasan campuran.

"Bagaimanapun, keberkesanan strategi kejutan seperti ini bergantung kepada kecekapan jentera parti memanfaatkannya tanpa mencetuskan reaksi balas negatif atau persepsi yang boleh memakan diri," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Mengulas kesan strategi berkenaan terhadap pengundi, Syahruddin berkata, keberkesanannya bergantung kepada faktor demografi serta kecenderungan pengundi terhadap calon yang dilihat benar-benar layak untuk dipilih.

Jelasnya, pengundi tegar lazimnya sukar mengubah pendirian politik mereka meskipun berdepan pelbagai kejutan atau tawaran pada saat akhir kempen.

Bagaimanapun, katanya, strategi tersebut berpotensi mempengaruhi keputusan antara 15 hingga 20 peratus pengundi atas pagar dan golongan muda, terutama jika mesej yang dibawa menyentuh secara langsung isu kos sara hidup, peluang pekerjaan serta integriti.

"Strategi ini juga berupaya menggerakkan pengundi yang berada di luar kawasan untuk pulang mengundi sekiranya isu yang diketengahkan berjaya mewujudkan rasa keutamaan dan tanggungjawab dalam kalangan mereka," katanya.

Dalam pada itu, Syahruddin berpandangan BN ketika ini mempunyai kedudukan agak selesa berikutan kelebihan jentera perkhidmatan, rekod pentadbiran tempatan serta sokongan tradisi di kawasan luar bandar.

Bagaimanapun, katanya, PH masih mempunyai kelebihan di kawasan bandar dan kawasan campuran, manakala PN pula mampu memberikan saingan menerusi kekuatan naratif kempen di kawasan pinggir bandar serta dalam kalangan pengundi generasi muda.

Sementara itu, pandangan sama turut dikongsi seorang lagi penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi.

Menurut beliau, BN boleh memanfaatkan pengalaman mentadbir negeri, jaringan akar umbi dan hubungan dengan pengundi luar bandar untuk meyakinkan rakyat mengenai kepentingan kestabilan politik serta kesinambungan pembangunan.

Tambahnya, PH pula berpeluang mengetengahkan agenda pembaharuan, tadbir urus baik dan isu kos sara hidup, manakala PN boleh memanfaatkan sentimen pengundi Melayu serta isu politik semasa untuk meningkatkan sokongan.

"Senjata paling berkesan pada penghujung kempen bukanlah semata-mata pengumuman yang mengejutkan, tetapi sejauh mana parti berjaya meyakinkan rakyat bahawa mereka benar-benar memahami masalah yang dihadapi pengundi Melaka," katanya.

Dalam perkembangan kempen pula, beliau melihat BN mempunyai sedikit kelebihan berbanding parti lain berikutan kedudukannya sebagai parti yang mentadbir Melaka, selain memiliki jentera akar umbi tersusun dan pengalaman menghadapi pilihan raya.

Jelasnya, persefahaman antara BN dan PN yang tidak bertembung sesama sendiri di kawasan tertentu turut memberikan kelebihan dari sudut strategi pilihan raya kerana berpotensi mengurangkan perpecahan undi, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu.

"Pada pandangan saya, walaupun BN dilihat mempunyai sedikit kelebihan ketika ini, keadaan masih terbuka, khususnya di kawasan yang mempunyai persaingan sengit.

"Kemenangan akhirnya bukan hanya bergantung kepada kekuatan parti, tetapi juga penerimaan terhadap calon, keberkesanan kempen dan kemampuan jentera membawa penyokong keluar mengundi," katanya.

Pada masa sama, beliau berpandangan isu tempatan lebih berpotensi mempengaruhi keputusan pengundi berbanding isu nasional kerana rakyat mahu melihat kemampuan kerajaan negeri menyelesaikan masalah yang dekat dengan kehidupan seharian mereka.

Antara isu yang menjadi perhatian katanya, kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan setempat, kemudahan awam dan masalah banjir yang secara langsung memberi kesan kepada kesejahteraan penduduk.

Bagaimanapun, Hussain Yusri tidak menafikan isu nasional termasuk perkembangan berkaitan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut berpotensi mempengaruhi sentimen pengundi, khususnya penyokong parti yang mempunyai pendirian berbeza mengenai perkara tersebut.

"Isu tahanan rumah Najib boleh memberikan kesan yang berbeza kepada BN, PN dan PH. Bagi BN terutama UMNO, perkembangan ini mungkin dapat meningkatkan semangat penyokong setia Najib yang masih mempunyai pengaruh dalam parti.

"Namun, bagi PH, isu ini boleh menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong yang selama ini memperjuangkan isu integriti, keadilan dan tadbir urus yang baik. Sekiranya isu ini tidak dijelaskan dengan baik, ia berpotensi menjejaskan keyakinan sebahagian penyokong PH atau menyebabkan mereka kurang bersemangat untuk keluar mengundi," katanya.