Ahli Parlimen perlu kembali kepada peranan asal- Zainul Rijal

Iklan
Zainul Rijal

SHAH ALAM- Ahli Parlimen sepatutnya memberi tumpuan kepada menggubal undang-undang, membahaskan dasar kerajaan, meluluskan peruntukan dan melaksanakan fungsi semak serta imbang.

Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, bagaimanapun dalam realiti, mereka sering terpaksa menghabiskan banyak masa menguruskan masalah kebajikan pengundi seperti bantuan kewangan, rumah, pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan masalah infrastruktur.

Iklan
Iklan

"Pandangan dua kupang saya mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen yang viral sekarang.

"Bagi saya satu perkara yang wajar dikritik dalam sistem politik kita ialah penghakisan sempadan antara peranan Ahli Parlimen dengan peranan pentadbiran awam.

Iklan

"Ahli Parlimen sepatutnya memberi tumpuan kepada menggubal undang-undang, membahaskan dasar kerajaan, meluluskan peruntukan serta melaksanakan fungsi semak dan imbang," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Menurutnya, keadaan berkenaan sebenarnya tidak sihat kerana kebajikan rakyat ialah tanggungjawab kerajaan yang dilaksanakan melalui kementerian, jabatan dan agensi awam.

Iklan

Katanya, penjawat awam mempunyai struktur, kepakaran, peruntukan dan mekanisme untuk menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

"Jika setiap masalah rakyat perlu dibawa kepada Ahli Parlimen sebelum mendapat perhatian kerajaan, ia menunjukkan kelemahan dalam sistem penyampaian awam.

"Sudah tentu Ahli Parlimen tidak boleh bersikap tidak peduli terhadap masalah rakyat. Mereka perlu mendengar aduan, membawa isu tersebut ke Parlimen dan memastikan kementerian serta agensi berkaitan mengambil tindakan," katanya.

Bagaimanapun katanya, peranan Ahli Parlimen sepatutnya memastikan sistem bekerja untuk rakyat, bukan mengambil alih tugas sistem tersebut.

Menurutnya, jika jalan rosak, jabatan yang bertanggungjawab perlu bertindak, jika bantuan tidak sampai mekanisme kebajikan perlu diperbaiki.

"Kita perlu mengembalikan Ahli Parlimen kepada peranan strategiknya sebagai penggubal dasar, pembentuk undang-undang dan pengawas kerajaan, bukan sekadar menjadi pusat aduan atau 'pegawai kebajikan' kawasan.

"Demokrasi yang matang bukan apabila Ahli Parlimen mampu menyelesaikan semua masalah pengundi tetapi apabila sistem pentadbiran mampu memberikan hak dan perkhidmatan kepada rakyat tanpa mereka perlu bergantung kepada pengaruh seseorang Ahli Parlimen," katanya.