Koperal didakwa amang seksual anak dibenar ikat jamin RM20,000

Iklan
Kamal Hisham (dua dari kanan) berbincang dengan anak guamnya di Mahkamah Sesyen Ampang pada Jumaat.

AMPANG – Seorang anggota polis berpangkat koperal yang didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan kandungnya dibenarkan diikat jamin RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, sementara menunggu prosiding kes selesai.

Hakim, Norshila Kamarudin membenarkan tertuduh berusia 35 tahun itu diberi jaminan dengan seorang penjamin selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.

Iklan
Iklan

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan serta dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Kes itu kemudian ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 September ini bagi serahan dokumen oleh pihak pendakwaan.

Iklan

Pada 22 Julai lalu, Norshila tidak membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan, sehingga pihak pembelaan mengemukakan penjamin yang boleh memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah termasuk syarat dia tidak mengganggu mangsa.

Semasa prosiding, peguam, Kamal Hisham Jaafar berkata, anak guamnya wajar dilepaskan sementara dengan jaminan sepanjang prosiding berlangsung kerana lelaki itu tidak mempunyai risiko melarikan diri.

Iklan

Menurutnya, adik kandung tertuduh hadir ke mahkamah dan bersedia menjadi penjamin, selain tertuduh kini telah digantung tugas serta tidak lagi tinggal berhampiran mangsa.

“Tiada keterangan dikemukakan di hadapan mahkamah pada hari itu yang menunjukkan tertuduh mengganggu mangsa.

“Anak guam memberi aku janji tidak akan mengganggu mangsa dan bersedia mematuhi apa-apa syarat tambahan ikat jamin yang diperintahkan mahkamah,” katanya yang hadir bersama seorang lagi peguam, Muhammad Nor Tamrin.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie membantah permohonan itu dengan alasan tertuduh didakwa pernah mengganggu mangsa, menyebabkan pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan.

Pada 22 Julai lalu, lelaki itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan ketiganya yang ketika kejadian berusia 11 tahun 10 bulan.

Bapa kepada empat anak itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan bagi tujuan seksual di sebuah rumah di Kuala Kubu Bharu, Rawang antara jam 9 hingga 10 malam pada 21 Mei serta jam 2 petang pada 22 Mei lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta serupa.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan, manakala pertuduhan di bawah Seksyen 16(1) memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun serta tidak kurang dua sebatan.