RCI Tabung Haji: Taklimat khas BN Isnin ini

Iklan
Ahmad Maslan. Foto ROSLI TALIB/SINAR HARIAN

SHAH ALAM - Taklimat khas Barisan Nasional (BN) berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) yang dijadualkan pada Isnin ini dibuat bagi menyeragamkan pertahanan atau perbahasan ahli Parlimen gabungan itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beberapa wakil Kelab Ahli Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) juga telah dikenal pasti untuk mengambil bahagian pada sesi sidang khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos.

Iklan
Iklan

“Antara perkara yang akan diberi tumpuan pada taklimat khas nanti ialah apa naratif yang ingin BN bawa. Sebagai contoh, ini pandangan saya, bahawa ketika BN memerintah 2014-2018 bahawa kita mendapat keputusan akaun bersih daripada Ketua Audit Negara.

“Jadi apabila akaun itu telah diaudit, Jabatan Audit Negara diberikan keputusan akaun yang tidak ada masalah. Itu satu naratif yang sangat penting untuk diutarakan. Juga ada beberapa perkara lain yang perlu diberi tumpuan.

Iklan

Ahmad mempamerkan kemahiran memasak nasi goreng petai yang beliau namakan Nasi Goreng Ahmad Maslan di kafe Karangkraf semasa sesi kunjungannya pada Khamis. Foto ROSLI TALIB

BN sebelum ini dilapor akan mengadakan taklimat khas berhubung laporan RCI TH didedahkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Iklan

Pada 31 Julai, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa satu sidang khas Parlimen akan diadakan pada 11 Ogos untuk membahaskan penemuan laporan RCI berkenaan.

Sidang khas tersebut diadakan susulan keputusan Jemaah Menteri menyahklasifikasikan laporan berkenaan dan membolehkan agensi penguat kuasa menjalankan siasatan lanjut berdasarkan dapatan yang dikemukakan.

Sementara itu, ditanya sama ada sama BN bersedia berdepan semua dapatan termasuk kemungkinan nama individu dikaitkan dengan gabungan tersebut, Ahmad berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah.

Ini kerana katanya, nama individu yang dikaitkan sebelum ini telah memberi penjelasan masing-masing, selain turut dibebaskan daripada pendakwaan.

“Datuk Seri Aziz Rahim (bekas Pengerusi TH sebelum ini) sudah dibebaskan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kan.

“Terbaharu, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga telah menyebut bahawa beliau hanya memutuskan apa-apa perkara selepas mendapat nasihat daripada Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji.. beliau tidak membuat keputusan sendiri,” katanya.