BAGAN DATUK – Satu rangka manusia dipercayai milik Nadzirul Syamin Mahyudin ditemukan bersama sebuah motosikal di dalam longkang di Kilometer 155.7 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah selatan, di sini, pada Rabu.
Penemuan itu disedari oleh pekerja pembersihan yang sedang menjalankan aktiviti memotong rumput di lokasi berkenaan selepas terhidu bau busuk pada jam 3.39 petang.
Menerusi media sosial, orang ramai turut berkongsi maklumat mengenai mangsa yang dilaporkan hilang sejak 29 Julai lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintenden Mohammad Ali Mohd Jali mengesahkan satu rangka manusia telah ditemui bersama motosikal di kawasan tersebut.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal dipercayai terbabit dalam kemalangan sebelum terjatuh ke dalam longkang di lokasi kejadian.
"Berdasarkan maklumat awal yang diterima, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal seorang diri dari arah Teluk Intan menuju ke Sabak Bernam sebelum hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.
"Mangsa tidak menerima sebarang bantuan sehingga kejadian itu disedari oleh orang awam," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, turut ditemukan bersama rangka manusia itu ialah beberapa barangan peribadi yang dipercayai milik mangsa, termasuk telefon bimbit, pasport Malaysia dan wang tunai.
Menurutnya, semakan lanjut mendapati satu laporan orang hilang telah dibuat oleh ahli keluarga di Balai Polis Teluk Intan pada 5 Ogos lalu.
"Siasatan awal percaya rangka manusia tersebut adalah milik seorang lelaki Melayu berusia 35 tahun yang dilaporkan hilang sejak 29 Julai 2026," katanya.
Mohammad Ali berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Normah Abu Hassan di talian 010-5364619.