Guru wanita ditemukan meninggal dunia dalam tandas sekolah

Iklan
Guru mata pelajaran Sains dan Biologi itu ditemukan dalam keadaan terlentang serta tidak sedarkan diri di atas lantai tandas sekolah. Gambar hiasan

KUCHING - Seorang guru wanita ditemukan meninggal dunia di dalam tandas guru perempuan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bau pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, pasukan anggota balai polis itu digegaskan ke lokasi, selepas menerima panggilan mengenai kejadian itu pada kira-kira 8.53 pagi. 

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan guru mata pelajaran Sains dan Biologi di sekolah itu sejak 25 tahun lepas, ditemukan dalam keadaan terlentang serta tidak sedarkan diri di atas lantai tandas guru perempuan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, rakan setugas mangsa memaklumkan kali terakhir beliau bertemu mangsa pada kira-kira 8.15 pagi di bilik guru, apabila mangsa dikenali sebagai Wong Lee Choo, 54, memaklumkan ingin ke tandas.

Iklan

Mohd Haide berkata, kira-kira 20 minit kemudian, seorang guru lain memaklumkan mangsa masih belum hadir ke kelas untuk sesi pengajaran, menyebabkan rakan setugasnya itu pergi mencarinya di tandas guru wanita.

"Sebaik pintu tandas dibuka, mangsa ditemukan dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri, sebelum talian kecemasan dihubungi bagi mendapatkan bantuan perubatan,” katanya.

Iklan

Mohd Haide berkata, pegawai perubatan dari Hospital Bau mengesahkan mangsa meninggal dunia pada 9.08 pagi di lokasi kejadian dan pemeriksaan awal polis mendapati tiada sebarang kecederaan mencurigakan atau unsur jenayah pada tubuh mangsa.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bau dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat. - Bernama