IPOH – Op Bersepadu Khazanah yang dilaksanakan Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) merekodkan lonjakan ketara tahun ini dengan nilai rampasan mencecah RM56.86 juta setakat 4 Ogos.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan luar biasa sebanyak 2,404 peratus berbanding RM2.27 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Menurutnya, jumlah kes di bawah operasi itu turut meningkat daripada 17 kes pada 2025 kepada 38 kes tahun ini.
“Peningkatan ini membuktikan keberkesanan risikan serta tindakan bersepadu yang dilaksanakan bersama pelbagai agensi penguatkuasaan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Briged Utara PGA di sini pada Rabu.
Op Bersepadu Khazanah antara lain memberi tumpuan kepada usaha melindungi habitat semula jadi hidupan liar selain menumpaskan sindiket pencerobohan hutan dan kecurian hasil hutan.
Tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara bersepadu dengan penglibatan beberapa agensi iaitu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Jabatan Perhutanan.
Dalam pada itu, Balveer Singh memaklumkan, jumlah keseluruhan kes di bawah PGA menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 33.68 peratus iaitu 389 kes berbanding 291 kes tahun lalu.
Katanya, peningkatan itu turut disokong pertambahan jumlah tangkapan iaitu seramai 813 individu berbanding 672 orang pada tahun lalu, meningkat kira-kira 21 peratus.
"Kes melibatkan sekatan jalan raya (SJR) turut mencatat peningkatan apabila 75 kes direkodkan tahun ini berbanding hanya 24 kes pada tahun lalu.
"Selain itu, kes di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) turut meningkat daripada enam kes kepada 11 kes bagi tempoh sama," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat agar terus memainkan peranan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.
Ujarnya, kerjasama tersebut penting bagi memastikan tindakan segera dapat diambil sekali gus menjamin keselamatan dan kesejahteraan awam.