PASIR GUDANG – Hospital Pasir Gudang (HPG) yang dilengkapi kemudahan moden dan pelbagai bidang kepakaran masih belum dapat beroperasi pada kapasiti penuh berikutan kekangan pengisian tenaga kerja.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, daripada keseluruhan 2,271 jawatan yang diperuntukkan di HPG, hanya 1,079 jawatan telah diisi manakala 1,192 lagi masih kosong membabitkan pakar perubatan, jururawat serta petugas kesihatan lain.
“HPG telah dilengkapi dengan kemudahan moden, kapasiti yang besar serta pelbagai bidang kepakaran. Namun, hospital ini masih belum dapat beroperasi pada kapasiti sepenuhnya kerana berdepan isu pengisian tenaga kerja.
“Dengan kepakaran termasuk Pediatrik, Obstetrik dan Ginekologi, Anestesiologi, Radiologi, Patologi, Ortopedik, Otorinolaringologi serta Oftalmologi, HPG mempunyai potensi besar untuk memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan di Johor,” katanya selepas mengadakan lawatan di hospital berkenaan.
Menurut beliau, pengoperasian penuh HPG penting bagi mengurangkan beban hospital sedia ada selain memenuhi keperluan kesihatan penduduk Pasir Gudang dan kawasan sekitarnya yang semakin berkembang.
Beliau berkata, Kerajaan Johor akan terus bekerjasama rapat dengan KKM bagi memastikan keperluan hospital berkenaan dapat dipenuhi.
“Saya sekali lagi memohon perhatian dan pertimbangan segera daripada KKM agar proses pengisian jawatan di HPG dapat dipercepatkan,” katanya.
Hospital Pasir Gudang mula beroperasi secara berfasa pada 1 Ogos tahun lalu, melibatkan perkhidmatan awal seperti jabatan kecemasan serta beberapa kepakaran perubatan.
Pada 30 April lalu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menitahkan agar Hospital Pasir Gudang dapat beroperasi sepenuhnya pada kadar segera dengan isu perjawatan dan kelengkapan di hospital berkenaan perlu diselesaikan tanpa sebarang kelewatan.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-15.