BATU PAHAT – Perasaan curiga selepas melihat objek terapung dalam keadaan terbelit dengan jaring membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja, pada Isnin.
Muhamad Zul Fikri Borhanodin, 33, berkata, pada mulanya dia menyangka objek berkenaan adalah bangkai haiwan sebelum menghampirinya untuk melihat dengan lebih dekat.
"Mana mungkin haiwan mati dalam keadaan terbelit dengan jaring" katanya ketika ditemui di Kampung Tanjung Sembrong di sini, pada Selasa.
Menurut Muhamad Zul Fikri, sebelum penemuan itu, dia bersama seorang rakannya menaiki dua bot berasingan untuk memancing sambil merakam video bagi kegunaan peribadi.
"Sewaktu dalam perjalanan, saya ternampak objek terapung yang dibawa arus ketika air sedang pasang.
"Bot saya berselisih dengan objek itu pada jarak kira-kira lima meter dan pada masa sama saya terhidu bau busuk. Apabila saya teliti betul-betul, saya nampak seperti tangan manusia. Dari situ saya mula yakin ia bukan bangkai haiwan,” katanya.
Menurutnya, seorang rakannya pernah ternampak objek sama sehari sebelum itu, namun menyangka ia hanyalah sampah atau objek lain yang hanyut di sungai.
"Saya beberapa kali mengelilingi objek itu sebelum menggunakan pengait untuk melihat dengan lebih jelas.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Polis Hoo Chuan Huat berkata, siasatan awal tidak menolak kemungkinan kejadian itu melibatkan pembunuhan yang mempunyai kaitan dengan masalah hutang namun motif sebenar masih dalam siasatan.
Jelasnya, susulan itu, tiga lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 40 tahun ditahan sekitar Batu Pahat untuk membantu siasatan.
Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bermula Selasa hingga 10 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.