KPDN Selangor salur bantuan i-Food Bank kepada 137 pelajar Orang Asli

Iklan
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Selangor menyalurkan sumbangan menerusi Program Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) 2026 kepada 137 pelajar Orang Asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Abdul Razak di sini pada Isnin.

KUALA KUBU BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Selangor menyalurkan sumbangan menerusi Program Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) 2026 kepada 137 pelajar Orang Asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Abdul Razak di sini pada Isnin.

Pengarah KPDN Negeri Selangor, Muhamad Hanif Asa'ari berkata, pemilihan SK Tun Abdul Razak yang menempatkan 137 pelajar Orang Asli dan 16 guru adalah selaras dengan matlamat program untuk membantu golongan yang benar-benar memerlukan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Program Ihsan Food Bank (i-FB) tahun ini mengetengahkan konsep 3S iaitu Santuni Komuniti, Selamatkan Makanan dan Sayangi Alam.

"KPDN Negeri Selangor komited memperkukuh pelaksanaan Inisiatif Ihsan Food Bank bagi memastikan pengagihan makanan dapat dilakukan secara lebih tersusun dan berkesan.

Iklan

"Secara langsung ia membantu meringankan beban kos sara hidup dalam kalangan pelajar," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Muhamad Hanif (kanan) ketika majlis penyerahan sumbangan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Abdul Razak di sini pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata, antara sumbangan yang disalurkan ialah barangan keperluan makanan dan minuman kepada pelajar yang terlibat.

Menurutnya, inisiatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara KPDN dengan syarikat korporat, pihak industri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan bantuan makanan dapat disalurkan secara berkesan dan berterusan kepada golongan sasar.

"Bagi pelaksanaan Ihsan Food Bank di SK Tun Abdul Razak, KPDN telah mengenal pasti dua rakan strategik utama yang akan menjadi penyumbang kepada food bank di sekolah berkenaan.

"Selain membantu mengurangkan beban kos sara hidup, inisiatif ini turut menyumbang kepada usaha mengurangkan pembaziran makanan serta memperkukuh aspek kelestarian dan kebajikan komuniti," katanya.

Beliau berkata, program berkenaan bukanlah pelaksanaan pertama, sebaliknya telah diadakan sebelum ini di Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 15 Julai lalu.

Tambah beliau, KPDN akan terus memperluaskan pelaksanaan Inisiatif Ihsan Food Bank bagi memperkukuh kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti supaya lebih ramai golongan memerlukan dapat dibantu di samping menangani isu pembaziran makanan.

End....