Lehenga pilihan si kecil, lambang warna-warni perpaduan

Iklan
Fatimah Humaira mengenakan pakaian tradisional India atau lehenga berwarna merah jambu sempena sambutan hari lahirnya pada 6 Oktober lalu.

SHAH ALAM – Perbezaan budaya bukan penghalang untuk masyarakat saling mengenali dan menghargai, malah boleh menjadi penghubung yang menyatukan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Itulah gambaran menerusi kisah seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Fatimah Humaira Aliff Haziq yang memilih untuk mengenakan pakaian tradisional India atau lehenga berwarna merah jambu sempena sambutan hari lahirnya pada 6 Oktober lalu.

Iklan
Iklan

Ibunya, Fatin Farhana Rosmin, 34, berkata, pilihan itu dibuat sendiri oleh anak keduanya yang tertarik dengan pakaian berkenaan kerana meminati watak Devi dalam animasi popular Upin & Ipin.

Menurutnya, sebelum ini Fatimah turut meminati watak Mei Mei sehingga pernah menyuarakan hasrat untuk memakai pakaian tradisional Cina seperti cheongsam.

Iklan

"Dia sendiri tunjuk video watak Devi melalui YouTube dan beritahu mahu memakai pakaian seperti itu sempena hari lahirnya.

"Saya tidak kisah kerana bagi saya, tidak salah untuk anak mengenali dan meminati budaya masyarakat lain," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Fatimah Humaira menyambut hari lahirnya pada 6 Oktober lalu.

Fatin Farhana yang bertugas sebagai Penolong Jurutera Awam di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberitahu, Fatimah turut memilih sendiri warna merah jambu dan rekaan lehenga yang mempunyai selendang di bahagian bahu.

Katanya, anaknya memang gemarkan sesuatu yang cantik dan comel, malah kelihatan sangat gembira apabila berpeluang memakai pakaian pilihan sendiri.

Menurut Fatin Farhana, minat Fatimah terhadap budaya masyarakat lain bukan hanya terhad kepada pakaian, malah sebelum ini dia pernah meniru tarian Cina yang ditonton di televisyen serta memasang lagu berbahasa Cina.

"Dia juga mudah teruja apabila terserempak dengan masyarakat berbangsa Cina dan India ketika berada di luar.

"Saya tahu dia belum memahami sepenuhnya maksud pakaian tradisional itu kerana usianya masih kecil. Hanya tahu pakaian itu cantik dan mahu memakainya.

"Namun, saya melihat minatnya sebagai satu peluang untuk dia mengenali kepelbagaian budaya yang ada di sekelilingnya," ujarnya.

Bagi Fatin Farhana, sikap saling menghormati budaya lain perlu diterapkan dalam diri anak-anak sejak kecil supaya mereka membesar dengan pemikiran terbuka dan memahami kepelbagaian masyarakat Malaysia.

Jelasnya, ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam memberi pendedahan kepada anak-anak untuk mengenali budaya lain tanpa melupakan kepentingan menghormati batas dan identiti masing-masing.

"Pada saya, kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum. Tidak salah untuk anak-anak mengenali budaya lain kerana daripada situ mereka belajar menghormati perbezaan.

"Perpaduan tidak semestinya bermula dengan perkara besar. Kadangkala, ia bermula dengan perkara kecil seperti menghargai sesuatu yang menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat lain," katanya.