'Adik comel papa sayang adik' jadi helah, pekerja hotel cabul anak tunang dipenjara 5 tahun

Iklan
Tertuduh (kiri) dibawa ke mahkamah untuk berdepan dua pertuduhan amang seksual. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

PASIR MAS - Seorang pekerja hotel dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dengan mencabul anak tunangnya, minggu lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Zulkpli Abdullah terhadap tertuduh, Muhamad Nazaim Mohd Nazari, 34, selepas dia mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dihadapinya.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja berusia 16 tahun 10 bulan terbabit dengan menyentuhnya bagi maksud seksual di sebuah bilik hotel di Tanah Merah pada jam 3 pagi, 24 Julai lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap remaja terbabit pada jam 11 pagi, tarikh sama dan di lokasi sama.

Iklan

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen 14 Akta yang sama.

Sabit kesalahan, seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.

Iklan

Berdasarkan fakta kes, tertuduh sebelum itu mengambil mangsa dari bapa kandungnya di Kuala Krai atas urusan dan janji mahu menguruskan perpindahan sekolah mangsa di Besut, Terengganu iaitu tempat ibu mangsa bekerja.

Tertuduh (kiri) yang tiba di mahkamah dengan menggunakan kenderaan polis. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

Mangsa bagaimanapun dibawa ke hotel di Tanah Merah tempat tertuduh bekerja sebelum dicabul dua kali ketika tidur.

Semasa dicabul, tertuduh memberitahunya “Adik comel, papa sayang adik, adik kecil macam baby”.

Mangsa yang ketakutan hanya mendiamkan diri sebelum berjaya keluar dari bilik hotel dan melarikan diri.

Mangsa diselamatkan orang awam yang menemuinya bersendirian di tepi jalan pada jam 4 petang hari sama serta membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah.

Pihak polis kemudian menghubungi ibu mangsa yang bekerja di sebuah premis di Besut, Terengganu untuk hadir ke IPD berkenaan bagi memaklumkan kejadian menimpa mangsa.

Pada prosiding itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman diringankan dengan alasan dia merupakan anak sulung daripada lima beradik serta perlu menjaga ibu selain bapanya yang menghidap penyakit jantung.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Nai’lah Harizan bagaimanapun memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam dan pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Siti Aiysha Nai’lah turut menegaskan kesalahan itu adalah serius berdasarkan peruntukan undang-undang dan kejadian seumpamanya yang kerap dibawa ke Mahkamah Pasir Mas tidak seharusnya terus menjadi barah dalam masyarakat.

Tertuduh (tengah) dikawal ketat polis ketika berjalan menuju ke lokap Mahkamah Pasir Mas. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

“Mangsa sebaliknya dibawa keluar dari rumah dan ditempatkan di sebuah bilik hotel yang asing baginya sebelum dicabul dan ditemui dalam keadaan ketakutan di tepi jalan, sekali gus meninggalkan kesan trauma,” katanya.

Hakim kemudian menerima pengakuan salah tertuduh dan mensabitkannya atas kedua-dua pertuduhan serta menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan yang diperintahkan berjalan serentak, selain satu sebatan bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan serta dikenakan perintah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.