BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki maut selepas tersepit di bawah sebuah lori 10 tan dalam kemalangan jalan raya di jejambat Jalan Bukit Tengah di sini pada Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu, mangsa berusia 49 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut John, pihaknya menerima panggilan kecemasan tepat jam 9.40 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam bergegas ke lokasi kejadian.
“Pejalan kaki didapati tersepit di bawah lori manakala pemandu lori, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan kerja-kerja menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah lori.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM di lokasi kejadian sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Operasi yang melibatkan lapan anggota bomba bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah kenderaan Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) itu turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta KKM.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.18 pagi.