Remaja tikam adik ipar tiga kali direman tujuh hari

Iklan
Remaja ditahan selepas disyaki menikam adik iparnya dalam kehadian di Taman Desa Sri Banang, Minyak Beku, Batu Pahat.

BATU PAHAT - Seorang remaja lelaki dipercayai bawah pengaruh dadah direman tujuh hari kerana disyaki menikam adik iparnya sebanyak tiga kali sehingga cedera di belakang dan paru-paru dalam kejadian pada Khamis.

Perintah reman ke atas suspek berusia 17 tahun yang juga pembantu kedai menjual barangan terpakai dibenarkan oleh Majistret Mustaqim Sukarno bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.

Iklan
Iklan

Berdasarkan laporan, kejadian berlaku pada jam 5 pagi pada Khamis di sebuah rumah di Taman Desa Sri Banang, Minyak Beku di sini, apabila suspek menikam dada dan belakang mangsa berusia 18 tahun dipercayai menggunakan pisau sepanjang 14.5 sentimeter.

Sehari sebelum kejadian, mangsa dan isterinya yang juga adik suspek berusia 14 tahun bertengkar pada jam 5 petang yang turut disaksikan suspek namun lelaki itu hanya berdiam diri.

Iklan

Suspek dikatakan pulang ke Rengit pada malam sebelum kejadian dan kembali ke rumah didiami mangsa tanpa disedari ahli keluarga lain.

Sebaik tiba di rumah, suspek menendang mangsa yang ketika itu sedang tidur dan sebaik terjaga, suspek terus menikamnya. Kejadian itu tidak disedari ahli keluarga kerana mereka semua sedang tidur.

Iklan

Selepas menikam mangsa, suspek kemudian melarikan diri. Mangsa yang cedera parah kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) oleh ibu mentuanya.

Laporan polis dibuat pihak hospital selepas memaklumkan menerima pesakit dalam keadaan cedera parah dengan kesan tikaman di badan pagi semalam.

Susulan kejadian itu, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek di sebuah kedai menjual barangan terpakai pada jam 12.30 tengah hari bagi membantu siasatan.

Difahamkan, polis masih menunggu laporan keadaan mangsa bagi membolehkannya merekod keterangan berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, mangsa masih dirawat dan keadaan dilaporkan stabil dengan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata atau benda berbahaya.