KUANTAN- Ikan kedua dipercayai dari spesies Red-bellied Piranha (Pygocentrus nattereri) didakwa ditemui seorang pemancing di Sungai Klau, Raub baru-baru ini.
Penemuan itu dikongsi melalui hantaran Facebook Jejak Air Tawar.
Berdasarkan hantaran tersebut, pihak yang menemui spesimen kedua itu telah dihubungi dan menyerahkan beberapa rakaman gambar serta video untuk rujukan.
Menurut admin page berkenaan, setelah meneliti spesimen di dalam rakaman, ia spesies yang sama dengan spesimen pertama yang ditemui pada bulan lalu.
"Berdasarkan kedudukan lokasi ini sebelum memasuki tadahan air Empangan Klau, sama ada ikan ini dilepaskan di sungai atau dilepaskan di kawasan empangan dan ia mudik ke arah hulu sungai. Jika dilepaskan di sungai, lokasi pelepasan yang saya sasarkan adalah sekitar Felda Klau-RTP- Kampung Sungai Klau," ujarnya.
Katanya lagi, sama ada populasi ikan itu telah berkembang biak juga tak boleh sahkan kerana ikan seperti Red-bellied Pacu setakat ini tiada yang dikesan berjaya membiak walaupun invasif, manakala Red-bellied Piranha pula yang berada dalam keluarga yang sama (Serrasalmidae) diketahui lebih sensitif berbanding Red-bellied Pacu, perlukan parameter air dan habitat yang benar-benar sesuai.
"Tapi disebabkan kedua-duanya di bawah genus yang berbeza (Pygocentrus vs Piaractus) dan berevolusi dengan mekanisme yang sedikit berbeza, saya tidak menolak jika Red-bellied Piranha mampu membiak di Sungai Klau, kerana dari segi iklim di negara asalnya tidak banyak berbeza, cuma ekosistem sungai berbeza," ujarnya.
Menurut hantaran itu lagi, saiz kedua-dua spesimen nampak sekata, seperti populasi yang sama baru dilepaskan. Jika spesimen dengan saiz berbeza-beza ditemui, itu perlukan perhatian selanjutnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Roslan Abu Hasan ketika dihubungi memberitahu pihaknya sedia maklum berhubung dakwaan penemuan ikan asing itu.
Beliau berkata, pihaknya cuba menghubungi pengendali akaun Facebook terbabit dan mengesan pemancing yang menemui ikan tersebut bagi membantu siasatan.