Rakyat beri mesej jelas mahukan kerajaan lebih responsif

Iklan
Kemenangan BN dengan kerjasama PN tidak seharusnya diraikan dengan keangkuhan namun mandat tersebut mesti diterima dengan rasa rendah hati dan penuh tanggungjawab.Gambar kecil: Rosdi Amir

CYBERJAYA - Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan semalam memberi mesej yang jelas mahu sebuah kerajaan yang lebih responsif, berkesan dan dekat dengan kehidupan mereka.

Presiden Pertubuhan Asas Bina Negara (Asabina), Rosdi Amir berkata, rakyat menilai kerajaan berdasarkan kemampuan menyelesaikan masalah sebenar, bukannya semata-mata melalui slogan, sentimen politik atau pun janji ketika berkempen.

Iklan
Iklan

Tegasnya, kemenangan Barisan Nasional (BN) dengan kerjasama Perikatan Nasional (PN) tidak seharusnya diraikan dengan keangkuhan namun mandat tersebut mesti diterima dengan rasa rendah hati dan penuh tanggungjawab.

"Pendekatan sama harus diambil pihak yang tidak berjaya iaitu dengan menghormati keputusan rakyat, bermuhasabah dan memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif, berwibawa serta berkesan.

Iklan

“Asabina berpandangan bahawa rakyat Negeri Sembilan meletakkan harapan yang tinggi supaya kerajaan baharu memberikan perhatian segera kepada beberapa perkara Utama,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelasnya lagi, kerajaan baharu mesti menangani kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan rakyat.

Iklan

Katanya, isu harga barangan, peluang pekerjaan, perumahan mampu milik, upah yang setimpal dan kelangsungan perniagaan kecil perlu diberikan keutamaan serta pertumbuhan ekonomi negeri mestilah dirasai oleh rakyat di Seremban, Port Dickson, Nilai, Kuala Pilah, Jempol, Tampin, Jelebu dan Rembau, bukannya tertumpu di kawasan pembangunan tertentu sahaja.

“Kedua, kerajaan perlu menyediakan peluang ekonomi dan pekerjaan berkualiti kepada golongan belia. Negeri Sembilan mempunyai kedudukan strategik berhampiran Lembah Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur serta memiliki potensi besar dalam sektor perindustrian, logistik, teknologi, pendidikan, pertanian moden, pelancongan dan ekonomi digital. Potensi ini perlu diterjemahkan kepada pekerjaan bergaji tinggi dan peluang keusahawanan untuk anak tempatan.

“Ketiga, mutu perkhidmatan asas mesti dipertingkatkan. Masalah bekalan air, penyelenggaraan jalan, kesesakan lalu lintas, pengangkutan awam, banjir, kutipan sampah, kemudahan kesihatan dan perumahan rakyat memerlukan penyelesaian yang terancang serta mempunyai tempoh pelaksanaan yang jelas.

“Keempat, pembangunan mesti dilaksanakan secara seimbang antara bandar dan luar bandar.

"Masyarakat peneroka, petani, pekebun kecil, peniaga mikro, masyarakat Orang Asli, golongan B40, warga emas, wanita, belia dan orang kurang upaya tidak boleh dipinggirkan daripada arus pembangunan negeri,” ujarnya.

Tambahnya lagi, rakyat mengharapkan sebuah kerajaan yang menghormati kepelbagaian kaum, agama dan budaya serta menjunjung keunikan sistem Adat Perpatih.

Kerajaan negeri ujarnya lagi, hendaklah menjadi kerajaan untuk seluruh rakyat tanpa mengira kawasan, kaum, agama, latar belakang ataupun kecenderungan politik.

“Asabina mencadangkan supaya kerajaan baharu mengumumkan suatu Pelan Tindakan 100 Hari yang realistik, boleh diukur dan dipantau oleh rakyat.

"Pelan tersebut hendaklah menetapkan masalah yang ingin diselesaikan, agensi yang bertanggungjawab, tempoh pelaksanaan, peruntukan kewangan dan petunjuk prestasi yang jelas,” katanya.