Dua remaja disyaki samun, cederakan OKU ditahan

Iklan
Rakaman CCTV memaparkan seorang remaja lelaki berbaju hitam dipercayai menyerang mangsa.

KUANTAN - Dua remaja lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian samun mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) di sini ditahan polis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kejadian itu berlaku di Kampung Darat Beserah pada 29 Julai lalu dan mangsa telah membuat laporan polis mengenainya.

Iklan
Iklan

"Kedua-dua suspek berusia 16 dan 17 tahun ditahan selepas serbuan di hadapan sebuah rumah di Lorong Pelindung Damai 6.

"Tangkapan itu dibuat jam 7 malam pada 30 Julai lalu hasil risikan dan maklumat yang diterima sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Polis Beserah," katanya pada Ahad.

Iklan

Sebelum itu, satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi kira-kira 40 saat dipercayai memaparkan kejadian berkenaan tular di media sosial sehingga mengundang kecaman orang ramai.

Menerusi rakaman itu, kelihatan seorang remaja lelaki berbaju hitam dipercayai menyerang mangsa sebelum mengheret lelaki OKU terbabit dan melarikan beg miliknya.

Iklan

Ashari memaklumkan, semakan mendapati remaja berusia 17 tahun mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah selain masih dikehendaki bagi satu kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jelasnya, suspek berusia 16 tahun pula tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

"Kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan, manakala kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga mendatangkan kecederaan," jelasnya

Beliau menegaskan pihak polis memandang serius jenayah yang menyasarkan golongan rentan khususnya OKU

"Kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan sedemikian.

"Orang ramai turut diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada pihak polis bagi membantu mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam," katanya.