JAKARTA– Bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) secara rasmi dinobatkan sebagai Tokoh Tertinggi Raja-Raja Timor oleh lapan raja yang mewakili kerajaan tradisional di Pulau Timor dalam satu istiadat adat di Kupang, Nusa Tenggara Timur (NTT), pada Sabtu.
Istiadat itu diadakan bersempena Karnival Gajah di kawasan Pantai Lahi Lai Besi Kopan (LLBK) dan dihadiri ribuan penduduk.
Raja Amanatun, Jonathan Banunaek berkata, penganugerahan tersebut diberikan oleh lapan raja yang masih mempunyai wilayah kerajaan tradisional di Pulau Timor.
"Seorang Raja Amarasi tidak dapat hadir, manakala lapan lagi hadir dan bersama-sama menyempurnakan istiadat ini. Mereka merupakan raja yang mempunyai wilayah kerajaan, bukannya sekadar gelaran simbolik," katanya.
Lapan raja yang hadir ialah Raja Wewiku-Wehal, Raja Amanatun, Raja Amanuban, Raja Mollo, Raja Biboki, Raja Bikomi Nilulat, Raja Amfoang dan Raja Nisnoni.
Ketibaan Jokowi di lokasi acara disambut ribuan penduduk yang memenuhi pesisir Pantai LLBK sejak petang.
Beliau meluangkan masa bersalaman dan bergambar dengan orang ramai sebelum menaiki pentas dengan mengenakan tanjak atau ikat kepala adat Timor serta kain tenun tradisional Nusa Tenggara Timur.
Dalam upacara itu, setiap raja membacakan doa sebelum menyarungkan selendang adat Timor kepada Jokowi sebagai simbol penghormatan, sekali gus mengangkat beliau sebagai Tokoh Tertinggi Raja-Raja Timor.
Majlis tersebut turut menjadi tumpuan ribuan pengunjung yang hadir menyaksikan Karnival Gajah dan istiadat penganugerahan berkenaan.-Agensi