Musk labur RM1.8 bilion hanya sia-sia, 'laser angkasa ganggu pilihan raya'

Iklan
Kekalahan tersebut berlaku ketika Musk semakin mengukuhkan kedudukan empayar perniagaannya di Texas termasuk Tesla yang berpusat di Austin dan fasiliti pelancaran SpaceX di Starbase. Foto Agensi

 

WASHINGTON - Sumbangan ratusan juta dolar daripada bilionair teknologi kontroversi, Elon Musk gagal membantu calon Republikan memenangi kerusi Senat di Texas pada Pilihan Raya Pertengahan Penggal Amerika Syarikat (AS) yang berlangsung pada Selasa.

Iklan
Iklan

Calon Demokrat, James Talarico mencatat kemenangan besar ke atas calon Republikan, Ken Paxton, sekali gus merampas kerusi berkenaan daripada Republikan buat kali pertama sejak 1988.

Kemenangan Talarico turut menjadi tamparan kepada Musk yang merupakan antara penyumbang terbesar kepada kempen Republikan (GOP) pada pemilihan kali ini.

Iklan

Menurut laporan, Jawatankuasa Tindakan Politik (PAC) yang disokong Musk menyumbang kira-kira AS$47 juta (RM191 juta) kepada kempen Paxton selain AS$158 juta (RM641 juta) yang disalurkan kepada Yayasan Kepimpinan Senat pada September lalu.

Secara keseluruhan, Musk membelanjakan kira-kira AS$446 juta (RM1.8 bilion) untuk menyokong calon-calon Republikan lantas menjadikannya penyumbang individu terbesar. Namun, jumlah wang yang besar itu gagal mengubah keputusan pengundi Texas.

Iklan

Talarico berjaya menewaskan Paxton dengan majoriti melebihi 12 mata peratusan dalam pertandingan kerusi Senat yang disifatkan antara paling mahal dalam sejarah pilihan raya AS.

Persaingan tersebut menyaksikan perbelanjaan melebihi AS$573 juta (RM2.3 bilion) khususnya untuk pengiklanan berkaitan kempen berkenaan.

Menerusi ucapan kemenangannya, Talarico menyifatkan keputusan itu sebagai bukti bahawa pengaruh kewangan golongan ultra kaya tidak semestinya mampu menentukan pilihan pengundi.

Musk pula mengakui kekalahan itu secara berseloroh menerusi platform X, dengan menyatakan bahawa 'laser angkasa yang mengganggu pilihan raya' miliknya tidak berjaya kali ini.

Kekalahan tersebut berlaku ketika Musk semakin mengukuhkan kedudukan empayar perniagaannya di Texas termasuk Tesla yang berpusat di Austin dan fasiliti pelancaran SpaceX di Starbase.

Selain menyokong Paxton, Musk turut menyalurkan dana kepada kempen Gabenor Texas, Greg Abbott. Bagaimanapun, calon Demokrat, Gina Hinojosa berjaya menewaskan penyandang Republikan itu.

Keputusan di Texas dilihat sebagai sebahagian daripada gelombang kemenangan Demokrat yang memberi tekanan kepada GOP yang sebelum ini menikmati kelebihan besar dari segi kewangan.

Sebelum ini, Musk juga menjadi antara penyumbang utama kempen Donald Trump pada Pilihan Raya Presiden 2024 dan beliau terus menggunakan kekayaannya untuk menyokong calon Republikan.

Susulan kekalahan memalukan GOP, Musk menjadi sasaran kecaman dan sindiran warganet selepas usaha beliau membelanjakan jutaan dolar untuk membantu calon Republikan gagal mencapai keputusan yang diharapkan.

Ramai pengguna media sosial menyindir tindakannya yang menggunakan kekayaan dan pengaruh politiknya untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya, namun wang yang dibelanjakan tidak menjamin kemenangan.

Antara yang turut mengkritik Musk ialah pelakon John Cusack yang menyindir tindakannya menerusi kenyataan berkaitan pembayaran cukai. Sementara itu, Daniel W Drezner turut menempelak Musk kerana cuba mengalihkan perhatian orang ramai melalui hantaran di platform X. - Agensi