Bank darah Perancis digodam dalam serangan siber terbaharu di Eropah

Iklan
Beg darah mengalami proses penyahbekuan pada tahap sangat tinggi di Bank Darah Perancis. Gambar hiasan

PARIS - Perkhidmatan darah kebangsaan Perancis memaklumkan penggodam berjaya mengakses sistem kawalan dan meningkatkan suhu di tiga bilik penyimpanan sejuk yang menempatkan produk darah penting.

Serangan itu dipercayai sebahagian daripada gelombang pencerobohan siber yang menyasarkan sistem penyejukan komersial di beberapa negara Eropah sejak kebelakangan ini.

Iklan
Iklan

Perkhidmatan Darah Perancis (EFS) berkata, penggodam mengubah tetapan had suhu dan proses penyahbekuan kepada 'tahap yang sangat tinggi' dipercayai dari -30°C kepada 110°C dalam serangan berkenaan.

Bagaimanapun, menurut EFS, sistem penggera yang dimiliki agensi itu membolehkan juruteknik mengambil tindakan segera sebelum produk darah berkenaan terjejas.

Iklan

EFS merupakan pengendali perkhidmatan pemindahan darah awam Perancis yang bertanggungjawab mengumpul, menguji, memproses dan mengedarkan produk seperti darah, plasma serta platelet kepada lebih 1,900 hospital di seluruh negara.

Perkhidmatan itu menyokong rawatan lebih sejuta pesakit setiap tahun.

Iklan

Jelas EFS, serangan yang berlaku pada malam Isnin lalu menyusul selepas suhu peti sejuk dan peti sejuk beku di pasar raya di hampir sedozen negara Eropah meningkat sehingga 50 darjah Celsius, menyebabkan kerugian makanan bernilai jutaan euro.

Peruncit di Itali, Jerman, Romania dan United Kingdom menjadi sasaran pada Selasa selepas Belgium, Estonia, Ireland, Finland, Luxembourg, Belanda dan Sweden melaporkan masalah sistem penyejukan masing-masing sehari sebelumnya.

Dalam gelombang serangan di Perancis bulan lalu, penggodam dilaporkan berjaya mengambil alih kawalan unit penyejukan di 700 pasar raya.

Sementara itu, sebuah cawangan serantau bank Crédit Mutuel di Perancis pada Rabu memaklumkan bahawa pihaknya turut menjadi mangsa serangan siber.

Insiden hampir sama dipercayai berlaku di Amerika Syarikat (AS) pada awal Ogos lalu apabila beberapa kerosakan misteri pada peti sejuk dilaporkan berlaku di premis bekalan makanan di sekurang-kurangnya enam pangkalan tentera.

Pentagon kini sedang menyiasat kemungkinan berlakunya penggodaman dalam insiden berkenaan.

Sebaik kerajaan Itali mengadakan perbincangan tergempar bersama pegawai perisikan pada Selasa, jurucakap Kesatuan Eropah (EU), Thomas Regnier berkata, agensi blok itu sedang mengadakan perbincangan segera dengan pihak berkuasa negara anggota bagi merangka tindak balas secara kolektif.

“Ini bukan insiden terpencil dan sudah tentu kita perlu mempunyai daya tahan serta persediaan secara kolektif untuk menghadapi insiden siber seperti ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan menamakan mana-mana pihak yang berkemungkinan bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

Setakat ini, motif serangan masih belum diketahui dan tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab.

Semakin banyak peranti, termasuk sistem penyejukan komersial kini boleh dipantau dan dikawal dari jarak jauh.

Tanpa kemas kini keselamatan bagi membaiki kelemahan yang dikenal pasti, perisian yang disambungkan kepada Internet berisiko membuka ruang kepada penggodam untuk menceroboh sistem berkenaan.

Sesetengah pihak berkuasa dan pakar turut bimbang kemungkinan berlakunya serangan hibrid yang ditaja kerajaan susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 2022.

Pegawai perisikan Barat mendakwa Moscow sedang melancarkan kempen sabotaj di Eropah menerusi pelbagai bentuk operasi.

Pengarah Kanan Perisikan Ancaman syarikat keselamatan siber Sophos, Rafe Pilling memberitahu akhbar The Guardian bahawa senario paling munasabah bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab adalah tindakan sesebuah negara untuk menunjukkan kekuatan dan keupayaan teknologinya atau serangan dilakukan penggodam individu tanpa kaitan dengan mana-mana organisasi.

EFS menjelaskan bahawa pihaknya bukan sasaran secara langsung kerana serangan tersebut menyasarkan bilik penyimpanan sejuk yang dikendalikan kontraktor agensi berkenaan.

Produk yang disimpan di ruang terjejas, termasuk beg plasma untuk tujuan pemindahan darah dan pembuatan ubat-ubatan, telah dipindahkan ke lokasi lain.

Tambahnya, Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan Perancis (ANSSI) dan Kementerian Kesihatan negara itu telah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

Pemantauan terhadap semua peralatan milik agensi itu juga dipertingkatkan. - Agensi