Menyorok dalam tandas elak dicekup berkhalwat

Iklan
Pemeriksaan bilik hotel oleh penguat kuasa JAINJ membawa kepada penahanan sepasang kekasih yang disyaki berkhalwat. Foto JAINJ

MUAR – Seorang lelaki yang bertindak menyorok di dalam tandas selepas pintu bilik hotel diketuk penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akhirnya dicekup bersama pasangannya kerana disyaki berkhalwat.

Pasangan berkenaan yang bukan pasangan suami isteri atau mahram dicekup dalam operasi secara rambang dan berkala yang dijalankan penguat kuasa JAINJ di hotel terbabit kira-kira jam 12.15 tengah malam, baru-baru ini.

Iklan
Iklan

JAINJ dalam kenyataan berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, pintu bilik diketuk namun tiada jawapan diterima sebelum ia dibuka kira-kira lima minit kemudian oleh seorang wanita berusia 20-an yang memakai kain batik, baju-T lengan pendek serta menutup kepala dengan kain selendang.

"Penguat kuasa kemudian mendapati terdapat pakaian lelaki di atas kerusi dan katil sebelum terlihat bayang seseorang di dalam tandas yang pintunya diperbuat daripada kaca," katanya.

Iklan

Menurutnya, selepas pintu tandas diketuk dan ditolak, seorang lelaki keluar kira-kira tiga minit kemudian dalam keadaan hanya memakai seluar pendek.

"Lelaki itu diminta memakai pakaian terlebih dahulu sebelum keluar dari tandas untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Iklan

Hasil soal siasat mendapati lelaki berusia 30-an itu masih bujang dan bekerja di negeri lain, manakala wanita berusia 20-an berkenaan tidak bekerja.

Pasangan itu dipercayai datang ke Muar menaiki kenderaan dan menginap di hotel berkenaan selama dua hingga tiga hari selepas lelaki terbabit mempunyai urusan kerja di daerah ini.

"Lelaki itu membawa wanita berkenaan sebagai peneman sepanjang tempoh bekerja di Muar," katanya.

Pemeriksaan lanjut mendapati keadaan bilik menunjukkan pasangan berkenaan telah berada di situ untuk tempoh tertentu dengan pakaian lelaki dan wanita ditemui di dalam almari bersama beg pakaian.

Pasangan itu turut memaklumkan mereka mempunyai perancangan untuk berkahwin namun belum bersedia untuk melangsungkan pernikahan.

"Penguat kuasa sudah biasa mendengar alasan seperti itu, namun menasihatkan pasangan supaya segera bernikah jika benar-benar mempunyai perancangan," katanya.

Kedua-dua mereka kemudian ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.