SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz antara 29 calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang hilang deposit.
Selain Tun Faisal, 22 lagi calon Bersatu turut hilang deposit, manakala Datuk Seri R Sanjeevan yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang menjadi satu-satunya wakil daripada parti itu yang tidak hilang deposit.
Calon lain Bersatu yang hilang deposit ialah Rebin Birham (Palong), Mohamad Hanifah Abu Baker (Labu), Muhammad Noraffendy Mohd Salleh (Serting), Mohd Zuhaimi Md Yusof (Juasseh), Mohd Nazree Mohd Yunus (Paroi), Noor'Azah Harun (Ampangan), Muhammad Adib Musa (Klawang) dan Mohd Faizal Fadli Mohd Idrus (Pertang).
Turut menerima nasib sama, Mazrulhisham Abd Mansor (Sungai Lui), Zool Amali Hussin (Lenggeng), Datuk V Saravan (Nilai), Fazly Hamid (Temiang), Datuk Sri Megat D Shahriman Datuk Zaharudin (Seri Menanti), Mohd Izaffi Istear Khan (Senaling), Tang Jay Son (Rahang), Sarawanan Nagayah (Mambau) dan Mahendran Ramasamy (Seremban Jaya).
Selain itu, calon Bersatu lain yang hilang deposit ialah Akmal Noradzmi Abd Rahim (Kota), Sheikh Junaidy Jamaludin (Bagan Pinang), Datuk Zamri Md Said (Linggi), M Leevineshwaraan (Sri Tanjung) dan Zolazrai Capt Zolkapli (Gemas)
Turut hilang deposit ialah empat calon bebas dan masing-masing satu Parti Orang Asli Malaysia (Asli) serta Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Mengikut peraturan pilihan raya, seseorang calon akan hilang wang deposit sekiranya gagal memperoleh sekurang-kurangnya satu per lapan daripada jumlah undi yang diperoleh semua calon yang bertanding di kerusi berkenaan.
PRN negeri ini menyaksikan 103 calon bertanding bagi merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan Pakatan Harapan (PH) bertanding di kesemua kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) (25), Bersatu (24), Perikatan Nasional (PN) (11) dan empat calon Bebas.
Barisan Jamaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), ASLI dan PSM pula masing-masing menampilkan seorang calon.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara rasmi mengumumkan Barisan Nasional (BN) memenangi 18 kerusi DUN dalam pilihan raya negeri berkenaan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata Pakatan Harapan pula menang 11 kerusi dan PN tujuh kerusi.