Tabung Solidariti Najib sudah cecah RM1 juta

Iklan
Hantaran Asyraf Wajdi di Facebook pada Sabtu.

SHAH ALAM - Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak melunaskan denda RM50 juta kini mencecah RM1 juta.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jumlah berkenaan dicatatkan pada jam 9.30 pagi Sabtu selepas tabung tersebut dilancarkan pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Pada Jumaat, media melaporkan Asyraf Wajdi berkata, Tabung Solidariti Najib Razak berjaya mengumpul RM634,562.02 dalam tempoh tiga jam pertama selepas dilancarkan.

Asyraf Wajdi turut memaklumkan ramai penyumbang menyalurkan sumbangan serendah RM10 dan RM50 kepada tabung berkenaan.

Iklan

Tabung tersebut dilancarkan UMNO bagi membantu meringankan beban Najib dalam melunaskan denda RM50 juta susulan keputusan membenarkannya menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terdahulu berkata, kutipan berkenaan terbuka kepada kepimpinan, ahli dan penyokong parti serta mana-mana pihak yang mahu memberikan sokongan secara sukarela.

Iklan

Menurut Ahmad Zahid, inisiatif berkenaan akan dilaksanakan secara telus dan teratur selain mematuhi segala peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.

Sebelum itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Bagaimanapun, pengampunan bersyarat tersebut tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat yang ditetapkan.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang bersidang pada Jumaat.