Tahanan rumah Najib: Bersatu desak kerajaan umum semua syarat

Iklan
Mohamed Azmin

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendesak kerajaan mengumumkan secara terperinci semua syarat yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak susulan pengampunan bersyarat yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penjelasan itu penting bagi memastikan pelaksanaan keputusan berkenaan dibuat secara telus dan tidak menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perincian tersebut diperlukan bagi mengelakkan keresahan dan kemarahan rakyat yang boleh memberi kesan terhadap keyakinan kepada sistem perundangan negara.

“Bagi menjamin ketelusan dalam pelaksanaan keputusan Lembaga Pengampunan, semua syarat yang dikenakan ke atas Najib termasuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hendaklah dinyatakan secara terperinci dan diumumkan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, Najib mendapat pengampunan bersyarat dengan baki hukuman penjara dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang diadakan pada Jumaat.

Iklan

Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada Najib membayar denda RM50 juta.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, Bersatu menghormati Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa memberi ampun, menunda atau melegakan hukuman, serta menegaskan kuasa itu terpakai kepada semua banduan yang berhak memohon pengampunan melalui proses undang-undang.

Namun, dalam masa sama, Bersatu turut memahami kemusykilan yang timbul dalam kalangan rakyat berhubung prinsip kesaksamaan di sisi undang-undang.

Jelasnya, rakyat berhak mendapat keyakinan bahawa kedudukan, pengaruh atau latar belakang seseorang tidak mewujudkan piawaian pelaksanaan hukuman yang berbeza daripada yang terpakai kepada rakyat biasa.

"Kerajaan wajar menjelaskan kerangka undang-undang, tatacara dan kriteria yang akan digunakan bagi pelaksanaan tahanan di rumah, termasuk sama ada keistimewaan yang sama boleh dipertimbangkan secara adil kepada banduan lain yang memenuhi kriteria yang ditetapkan.

"Penjelasan ini penting supaya tidak timbul persepsi bahawa terdapat satu bentuk layanan bagi golongan bangsawan, berpengaruh dan satu lagi bagi rakyat biasa," katanya.

Selain itu, Bersatu menegaskan bahawa individu yang didapati bersalah oleh sistem kehakiman hendaklah dihukum mengikut peruntukan undang-undang dan Perlembagaan negara.

Tegasnya lagi, Bersatu sentiasa berpegang kepada prinsip negara hukum, menegakkan prinsip keadilan dan hukuman yang dijatuhkan kepada seseorang adalah saksama tanpa membezakan kerana darjat dan pangkat.

"Bersatu tuntas dalam perjuangan menentang kleptokrasi, amalan rasuah dan salah guna kuasa.

"Inilah prinsip perjuangan Bersatu yang akan kekal menjadi asas perjuangan kami," katanya.