Mesyuarat Majlis Presiden PH: PRU tidak dibincang, SOP tahanan rumah diberi perhatian

Iklan
Mohamad (tengah) menyerahkan bendera PH kepada jentera pilihan raya Amanah Melaka.

MELAKA – Isu pilihan raya umum (PRU) tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada Jumaat lalu, sebaliknya pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak antara perkara yang diberi perhatian.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perbincangan turut menjurus kepada usaha mengukuhkan kedudukan gabungan berkenaan serta meneliti aspek undang-undang berkaitan pelaksanaan tahanan rumah.

Iklan
Iklan

“Kita bincang hal nak mengukuhkan kedudukan, bagaimana nak hadapi suasana baharu apabila tahanan rumah ini menjadi satu perkara baharu yang berlaku di Malaysia.

“Jadi, dari segi undang-undang dan sebagainya akan dikaji dengan teliti, termasuk cara pelaksanaannya.

Iklan

“Itu diserahkan kepada mereka yang terlibat, terutamanya Peguam Negara dan pihak berkaitan. Sebab perkara ini baharu, jadi bagaimana SOP hendak dilaksanakan,” katanya ditemui pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Amanah Melaka pada Sabtu.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan Mesyuarat Majlis Presiden PH yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berakhir selepas lebih sejam berlangsung di Bangunan Perdana Putra.

Iklan

Mesyuarat berkenaan bermula kira-kira jam 5.30 petang sebelum beberapa kenderaan yang membawa pimpinan PH dilihat meninggalkan lokasi seawal jam 7 malam.

Ditanya sama ada PRU turut dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan, Mohamad menjawab ringkas perkara itu tidak dibincangkan.

Mohamad berkata, Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan PRU akan diumumkan pada bila-bila masa dari sekarang.

Bagaimanapun, katanya, beliau secara peribadi berharap PRU dapat diadakan  penghujung tahun depan.

“Maksudnya, kita berharap jika boleh, PRU diadakan sehingga penghujung tahun depan. Tetapi bagi Perdana Menteri, ia boleh diadakan pada bila-bila masa yang dirasakan sesuai.

“Itu hak beliau untuk menentukan masa. Kebiasaannya, semua Perdana Menteri akan membuat pengumuman secara umum tanpa menetapkan tarikh,” katanya.