SHAH ALAM- MCA kini kembali ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan selepas bertahun-tahun tidak bertanding di negeri itu susulan kemenangan dua calonnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, dua calon tersebut ialah Siow Kong Choon (John Siow) yang berjaya mencapai kemenangan luar biasa dengan menewaskan penyandang, Anthony Loke untuk memenangi kerusi DUN Chennah manakala Koh Kim Swee (Ah Swee) pula di Repah.
"Tahniah diucapkan kepada dua calon BN -MCA, kepada John dan Ah Swee bawalah suara rakyat ke DUN dengan baik dan berkhidmatlah dengan sepenuh hati untuk rakyat Negeri Sembilan.
"Kepada semua calon BN khususnya MCA yang tidak berjaya dalam PRN kali ini, percayalah bahawa perjalanan anda semua tidak terhenti setakat ini sebaliknya kita akan terus berdiri bersama," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Tambah Ka Siong, perkhidmatan untuk rakyat tidak pernah ditakrifkan dengan memegang jawatan tetapi sentiasa menjadi keutamaan.
Ka Siong turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi di Negeri Sembilan yang telah memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN)
"Terima kasih jentera BN dan semua yang membantu bekerja keras memenangkan BN, serta pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM), sukarelawan dan semua yang terlibat memastikan perjalanan PRN Negeri Sembilan kali ini berjalan lancar.
"Tahniah kepada semua yang menang," ujarnya.