RCI: Penjualan aset hampir RM10 bilion elak muflis - TH

Iklan
TH menegaskan penjualan aset bernilai hampir RM10 bilion pada 2018 merupakan langkah penyelamatan. Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menegaskan penjualan aset bernilai hampir RM10 bilion pada 2018 merupakan langkah penyelamatan bagi mengelakkan institusi berkenaan daripada berdepan risiko insolvensi susulan kedudukan defisit kewangan yang memerlukan tindakan segera ketika itu.

Menurut TH, pelan penstrukturan semula yang dilaksanakan pada tahun berkenaan bukan sahaja berjaya memulihkan kedudukan kewangan institusi itu, malah memastikan kepentingan pendeposit terus dilindungi.

Iklan
Iklan

TH menjelaskan, pihak berkuasa termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) sejak 2014 telah membangkitkan kebimbangan terhadap amalan pembayaran agihan keuntungan yang tinggi sehingga menyebabkan rizab sedia ada menjadi negatif serta mendedahkan institusi itu kepada risiko pengeluaran deposit secara besar-besaran.

Ujar TH, Ketua Audit Negara dalam Penyata Kewangan TH berakhir 2017 turut membangkitkan isu amalan perakaunan yang tidak konsisten dan tidak menggambarkan kedudukan kewangan sebenar, manakala Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pula menegur tindakan Ketua Audit Negara yang hanya mengeluarkan Sijil Audit Bersih dengan Penegasan Perkara.

Iklan

Jelasnya, jurang antara aset dan liabiliti yang dikenal pasti pada akhir 2017 terus meningkat sehingga melebihi RM10 bilion pada penghujung 2018.

Menurut TH, sekiranya keadaan itu tidak ditangani sebelum akhir 2018, institusi itu tidak lagi dapat memenuhi syarat di bawah Akta Tabung Haji untuk mengisytiharkan sebarang agihan keuntungan kepada pendeposit.

Iklan

"Jika tiada tindakan 'bailout' oleh Kerajaan pada masa itu, ia juga boleh menyebabkan krisis pasaran kewangan dan menggugat kestabilan negara apabila TH terpaksa menjual aset-aset pada harga terdesak di pasaran bagi memenuhi permohonan pengeluaran tunai yang besar dan tidak terkawal oleh pendeposit," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'RCI Tabung Haji buktikan fitnah saya gadai aset umat Islam tidak benar' – Mujahid

'RCI hanya tunjuk tindakan dalaman pegawai TH, jadi siapa ahli politik UMNO 'sakau?' - Akmal Saleh

Penerbitan laporan penuh RCI Tabung Haji perkukuh ketelusan, amanah tadbir urus institusi – IKIM

RCI: RM88 bilion perlu diaktifkan jika TH gagal pelan pemulihan

Laporan RCI TH setebal 211 halaman diterbitkan

RCI dedah pelantikan ahli politik dalam TH jejaskan kredibiliti institusi

RCI syor Akta Tabung Haji dipinda, kuasa menteri terlalu luas

Kuasa menteri tamatkan khidmat pimpinan TH tanpa sebab perlu dikaji semula

Sehubungan itu, kerajaan dan TH meneliti empat pilihan bagi melaksanakan pelan pemulihan dalam tempoh singkat sebelum memilih penjualan aset-aset kurang berdaya saing dan bermasalah kepada kerajaan bagi menutup jurang antara aset dan liabiliti supaya TH kembali solven.

Pada Rabu lalu, kerajaan mengumumkan penyahklasifikasian Laporan RCI berhubung pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 yang mengandungi 25 syor bagi memperkukuh tadbir urus serta kedudukan kewangan institusi berkenaan.

Susulan itu, TH mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan rasional pelaksanaan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan 2018, termasuk penjualan aset kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), selain memaklumkan kira-kira 75 peratus syor RCI telah dilaksanakan sejak 2023.

Dalam kenyataan sama, TH memaklumkan, Syarikat Tujuan Khas (SPV) milik penuh kerajaan, UJSB membeli aset bernilai RM9.7 bilion pada jumlah RM19.9 bilion sekali gus membolehkan agihan keuntungan bagi tahun 2018 diisytiharkan.

"Transaksi ini dibiayai oleh dua siri sukuk terbitan UJSB yang diberi surat sokongan Kerajaan dengan kadar keuntungan 4.05 dan 4.10 peratus setahun," kata TH.

Menurutnya, bagi melindungi kepentingan TH, institusi itu turut diberikan Hak Keutamaan untuk Menolak terhadap aset yang dipindahkan sekiranya UJSB bercadang menjualnya pada masa hadapan.

TH berkata, hak tersebut tidak mewajibkan institusi itu membeli semula aset berkenaan, sebaliknya hanya memberi keutamaan untuk membuat keputusan berdasarkan penilaian komersial dan kesesuaian pelaburan.

"TH hanya memiliki keutamaan untuk membuat keputusan membeli sekiranya UJSB berhasrat untuk menjual aset tersebut pada masa hadapan tertakluk kepada penilaian komersil dan kesesuaian kepada kriteria pelaburan Tabung Haji pada ketika itu," jelasnya.

Kenyataan itu memaklumkan, TH pada tahun ini membeli semula tanah di Tun Razak Exchange (TRX) pada harga pasaran RM270 juta berbanding harga asal penjualan RM400 juta, selain memperoleh semula ladang kelapa sawit UJ Estates (Holdings) Sdn Bhd pada harga RM695 juta berbanding RM800 juta ketika dijual kepada UJSB.

Menurut TH, tindakan itu membuktikan institusi berkenaan hanya akan mengambil alih semula aset yang memberi nilai tambah kepada portfolio pelaburannya demi menjaga kepentingan para pendeposit.

TH berkata, hasil pelan pemulihan dan penstrukturan itu, institusi berkenaan kini kembali berada di landasan lebih kukuh dengan kadar agihan keuntungan meningkat daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.25 peratus pada 2024 dan 3.50 peratus pada 2025, selain berjaya menangani keseluruhan kerugian pelaburan berjumlah RM12.6 bilion secara berperingkat sehingga hujung tahun lalu.

"Di bawah kepimpinan Pengerusi, Lembaga Pengarah serta pasukan pengurusan yang profesional dan berwibawa, TH kini berjaya kembali ke landasan yang lebih kukuh dan mampan melalui pelaksanaan pelan strategik, reformasi serta tadbir urus yang lebih baik, tanpa campur tangan Kerajaan," katanya.