RCI Tabung Haji: Apa yang perlu anda tahu?

Iklan
Tabung Haji

SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji dari tahun 2014 hingga 2020 ditubuhkan bagi meneliti dakwaan salah urus, kedudukan kewangan, tadbir urus, pelaburan dan pematuhan terhadap undang-undang.

Laporan RCI mengenal pasti kelemahan struktur pentadbiran, amalan pengurusan kewangan dan keputusan pelaburan yang didakwa menjejaskan kedudukan kewangan TH.

Iklan
Iklan

Pada masa sama, suruhanjaya mengemukakan 25 syor bagi memastikan institusi itu lebih telus, profesional dan mampan pada masa depan.

ARTIKEL BERKAITAN: 'RCI Tabung Haji buktikan fitnah saya gadai aset umat Islam tidak benar' – Mujahid

Iklan

'RCI hanya tunjuk tindakan dalaman pegawai TH, jadi siapa ahli politik UMNO 'sakau?' - Akmal Saleh

Penerbitan laporan penuh RCI Tabung Haji perkukuh ketelusan, amanah tadbir urus institusi – IKIM

Iklan

RCI: RM88 bilion perlu diaktifkan jika TH gagal pelan pemulihan

Laporan RCI TH setebal 211 halaman diterbitkan

RCI dedah pelantikan ahli politik dalam TH jejaskan kredibiliti institusi

RCI syor Akta Tabung Haji dipinda, kuasa menteri terlalu luas

Kuasa menteri tamatkan khidmat pimpinan TH tanpa sebab perlu dikaji semula

1. Apa masalah utama yang dikenal pasti?

Kelemahan tadbir urus

RCI mendapati Akta Tabung Haji 1995 mempunyai kelemahan yang membuka ruang kepada masalah tadbir urus.

Antara isu yang dibangkitkan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mempunyai kepakaran dalam bidang agama, namun bergantung kepada pihak pengurusan dan lembaga dalam membuat keputusan berkaitan kewangan, dana dan pelaburan yang memerlukan kepakaran khusus.

Selain itu, penglibatan anggota lembaga dan pengurusan TH dalam syarikat-syarikat subsidiari didapati menimbulkan konflik kepentingan serta mengurangkan tumpuan terhadap tanggungjawab utama mereka di TH.

2. Bagaimana krisis kewangan berlaku?

RCI menyimpulkan TH berdepan masalah kewangan yang serius sebelum pelan pemulihan dilaksanakan pada 2018.

Semakan PricewaterhouseCoopers (PwC) mendapati TH mengalami defisit antara aset dan liabiliti sejak 2014.

Malah, jika Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) dipatuhi sepenuhnya, TH sebenarnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017, berbanding keuntungan RM3.4 bilion yang dilaporkan.

Ketua Audit Negara turut menegur perubahan polisi rosot nilai kewangan pada tahun itu yang diubah sebanyak dua kali.

3. Apa punca krisis?

RCI mengenal pasti beberapa faktor utama, antaranya:

* Pembayaran hibah yang terlalu tinggi sehingga melebihi kemampuan kewangan TH, sekali gus menghakis rizab institusi.

* Amalan perakaunan yang disifatkan sebagai"perakaunan kreatif" bagi membolehkan pengisytiharan hibah yang tinggi.

* Pemberian sijil audit bersih bagi penyata kewangan 2014 hingga 2017 walaupun laporan audit 2017 mengandungi penekanan terhadap perkara penting (*Emphasis of Matter*).

* Pengembangan pelaburan secara besar-besaran dalam sektor seperti hartanah dan perladangan walaupun TH tidak mempunyai kepakaran mencukupi, menyebabkan kerugian terutama dalam anak syarikat.

ARTIKEL BERKAITAN: RCI Tabung Haji: Keputusan hibah, bantuan haji dipengaruhi unsur politik

Hibah tinggi 2014 hingga 2017 lampaui kemampuan kewangan LTH

RCI Tabung Haji: Amalan bonus terlalu tinggi perlu dihentikan

RCI Tabung Haji: Panel Pelaburan TH perlu diperuntukkan semula dalam Akta 535

RCI Tabung Haji: Krisis berpunca daripada kelemahan tadbir urus, bukan salah guna kuasa

RCI Tabung Haji: Ahli politik aktif tidak wajar terajui TH

4. Apa lagi yang ditemui RCI?

RCI turut mendedahkan beberapa penemuan lain yang memberi kesan kepada kedudukan kewangan TH.

Antaranya:

* Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) meningkat daripada RM106 juta pada 2014 kepada RM300 juta pada 2019.

* Urusharta Jamaah Sdn Bhd ditubuhkan sebagai syarikat tujuan khas (SPV) bagi mengambil alih aset-aset yang kurang berdaya saing.

* Berlaku pembayaran bonus tinggi kepada kakitangan TH dan lembaga pengarah TH Properties, termasuk yang didakwa tidak mematuhi peraturan.

* Bonus yang diberikan dilaporkan antara dua hingga 13 bulan, termasuk bonus tahunan dan bonus khas.

* Beberapa pelaburan anak syarikat mengalami kerugian dan menjejaskan prestasi keseluruhan TH.

5. Apakah syor utama RCI?

Daripada 25 syor yang dikemukakan, beberapa cadangan dianggap paling penting untuk memperkukuh TH.

-Memperkukuh tadbir urus

RCI mencadangkan Akta Tabung Haji dipinda dengan menetapkan kriteria jelas pelantikan anggota lembaga serta memperkemas struktur tadbir urus.

Suruhanjaya turut mengesyorkan tanggungjawab dipecahkan antara Menteri Agama yang mengurus hal ehwal haji dan Menteri Kewangan yang mengendalikan aspek kewangan, dana serta pelaburan.

Penglibatan pengurusan dan ahli lembaga dalam syarikat subsidiari juga dicadangkan dihadkan bagi mengelakkan konflik kepentingan.

-Memastikan pengurusan kewangan lebih telus

RCI mencadangkan:

* Penyata kewangan diaudit oleh firma audit swasta;

* Pengagihan hibah hanya dibuat berdasarkan penyata kewangan yang telah diaudit;

* Penyata kewangan mematuhi sepenuhnya piawaian pelaporan kewangan;

* Amalan pemberian bonus berlebihan dihentikan; dan

* Usaha mendapatkan semula bonus yang dibayar tanpa mematuhi peraturan diteruskan.

- Menyiasat pelaburan bermasalah

Suruhanjaya turut mengesyorkan audit forensik terhadap 14 pelaburan bermasalah bagi mengenal pasti bagaimana keputusan pelaburan dibuat sehingga menyebabkan penurunan nilai aset.

Pada masa sama, pihak berkuasa disaran mengambil tindakan segera terhadap sebarang laporan berkaitan salah laku di TH serta mempercepatkan proses tatatertib.

- Memperbaiki model perniagaan

RCI turut mengesyorkan kerajaan meneruskan pelan pemulihan TH, menstruktur semula sukuk, menambah baik dasar deposit dan Bantuan Kewangan Haji serta memastikan TH memberi tumpuan kepada pengurusan dana yang lebih selamat.

Suruhanjaya juga menegaskan TH tidak seharusnya terlibat dalam pelaburan berisiko tinggi, sebaliknya mengutamakan pelaburan yang mampan dan berhemat.

6. Apa kesimpulan RCI?

Secara keseluruhan, RCI menyimpulkan masalah yang berlaku di TH berpunca daripada kelemahan tadbir urus, keputusan pelaburan yang tidak berhemat, pengurusan kewangan yang tidak mematuhi amalan terbaik serta campur tangan yang menjejaskan profesionalisme institusi.

Justeru, suruhanjaya mengemukakan 25 syor yang bertujuan memperkukuh tadbir urus, meningkatkan ketelusan kewangan, memperbaiki pengurusan pelaburan dan memastikan TH kembali beroperasi secara profesional, lestari serta bebas daripada campur tangan politik.