DUBLIN - Pemuzik dan penulis lagu Ireland yang memenangi Anugerah Oscar, Glen Hansard dilaporkan meninggal dunia dalam kemalangan motosikal pada Rabu.
Memetik laporan BBC, Hansard, 56, yang terkenal sebagai vokalis kumpulan rock The Frames, maut dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal di Lower Road, Lucan, di barat Dublin kira-kira jam 4.30 pagi waktu tempatan.
Pihak pengurusannya, ATC Management memaklumkan keluarga Hansard terkejut dan amat berdukacita dengan pemergiannya dan merakamkan penghargaan kepada pasukan kecemasan yang memberi bantuan di lokasi kejadian.
Hansard mula mencipta nama apabila membintangi filem muzikal komedi The Commitments pada 1991 sebelum mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik menerusi The Frames.
Kemuncak kerjayanya hadir pada 2008 apabila memenangi Anugerah Akademi (Oscar) bagi Lagu Asal Terbaik melalui lagu 'Falling Slowly' bersama penyanyi Czech, Markéta Irglová yang dipersembahkan dalam filem Once.
Beliau turut merakam tiga album bersama Irglová di bawah nama The Swell Season, selain berjaya sebagai artis solo apabila album Didn't He Ramble menerima pencalonan Anugerah Grammy pada 2016.
Selain dikenali sebagai pemuzik berbakat, Hansard juga aktif dalam kerja kebajikan khususnya membantu golongan gelandangan melalui acara persembahan jalanan tahunan pada malam Krismas di Dublin yang berjaya mengumpulkan dana untuk badan amal.
Pemergiannya mendapat perhatian daripada tokoh muzik antarabangsa termasuk Bruce Springsteen dan Ed Sheeran.
Springsteen memberitahu Hansard sebagai seorang pemuzik hebat, sahabat yang baik serta insan yang murah hati.
Sheeran berkata, beliau amat sedih dengan kehilangan seorang individu yang luar biasa dan memberi inspirasi.
Perdana Menteri Ireland, Micheál Martin turut menyatakan Hansard sebagai tokoh muzik dan pelakon yang banyak menyumbang kepada landskap budaya negara itu sepanjang lebih tiga dekad kerjayanya.
Hansard meninggalkan seorang isteri dan seorang anak lelaki berusia tiga tahun.