KOTA BHARU - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan mengadakan pertemuan dengan penggiat industri filem dan drama bagi membincangkan paparan kandungan serta adegan yang menyentuh nilai masyarakat dalam karya kreatif.
Yang Dipertua Yadim, Datuk Dr Hasan Bahrom berkata, pertemuan itu akan melibatkan penerbit, pengarah, penulis skrip dan pelakon bagi membolehkan pandangan masyarakat disampaikan kepada penggiat industri.
Menurutnya, langkah itu diambil susulan pelbagai kandungan dalam karya drama dan filem yang menjadi perhatian masyarakat kebelakangan ini termasuk paparan adegan sensitif yang menimbulkan persoalan mengenai kesesuaiannya dengan nilai masyarakat.
“Kami membuat ketetapan untuk berjumpa mereka bagi menyatakan pandangan supaya karya itu dilaksanakan mengikut nilai masyarakat setempat.
“Pertemuan itu dijangka diadakan dalam tempoh terdekat, termasuk pada minggu depan,” katanya selepas merasmikan Majlis Peluncuran Dakwah Negara 2026 peringkat negeri Kelantan dan Pejabat Yadim negeri di sini pada Khamis.
Sebelum ini, berlaku kontroversi membabitkan drama Madu atau Racun selepas beberapa babak yang didakwa memaparkan hubungan sesama jantina tular di media sosial dan mencetuskan reaksi masyarakat.
Hasan berkata, perbincangan berkenaan bukan bertujuan menafikan realiti yang mahu dipaparkan dalam sesebuah karya, sebaliknya memberi perhatian kepada cara sesuatu perkara itu dipersembahkan kepada penonton.
“Memang tidak dinafikan sesetengah drama papar realiti tapi dari segi aspek persembahan itu yang sepatutnya lebih terkawal.
“Nak tulis, tulislah apa pun. Kami tidak boleh nak nafikan, buku pun banyak orang boleh baca. Tetapi dari segi aspek sentuhan atau helah untuk paparan itu ada yang sepatutnya tidak perlu,” katanya.
Menurutnya, garis panduan berkaitan kandungan industri kreatif sebenarnya sudah diwujudkan pihak berkaitan termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang juga akan dibincangkan dalam pertemuan itu.