Utamakan identiti tempatan, tak perlu jadi 'next Korea' - Penerbit KBS

Iklan
Kenny ketika bengkel Fenomena K Masterclass di Karangkraf.

MALAYSIA tidak perlu menjadi 'Korea seterusnya' untuk menghasilkan kandungan hiburan yang mampu menembusi pasaran global, sebaliknya perlu membangunkan cerita berasaskan identiti dan kekuatan tempatan.

Penerbit Kanan Sistem Penyiaran Korea (KBS), Dr Kenny Bae Kihyung berkata, pencipta kandungan di negara ini sepatutnya mengenal pasti perkara yang mampu diceritakan oleh masyarakat tempatan dan membawanya ke peringkat antarabangsa.

Iklan
Iklan

“Saya percaya Malaysia ialah negara yang sangat kaya dengan budaya, makanan dan bahasa. Itu boleh jadi penguat untuk dijadikan idea.

“Persoalannya ialah apakah cerita yang boleh dicipta oleh Malaysia dan mengapa dunia perlu mengambil perhatian terhadap cerita itu,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika bengkel Fenomena K Masterclass di Karangkraf yang mengupas perkembangan industri kandungan Korea dan faktor yang membolehkan cerita tempatan berkembang ke peringkat global.

Bengkel tersebut diadakan sempena pelancaran bukunya, Fenomena K Bagaimana Korea Mendunia yang dirasmikan Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Datuk Afdlin Shauki Aksan pada Jumaat.

Iklan

Hadir sama, Pengerusi Karangkraf merangkap Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin.

Bengkel tersebut diadakan sempena pelancaran buku Fenomena K Bagaimana Korea Mendunia yang dirasmikan Pengerusi FDAM, Datuk Afdlin Shauki Aksan pada Jumaat.

Kenny berkata, pengalaman Korea boleh dijadikan rujukan, namun Malaysia perlu mencari bentuk dan identiti kandungannya sendiri, bukan sekadar meniru kejayaan K-pop atau K-drama.

Menurutnya, kejayaan kandungan Korea juga bukan hanya bergantung kepada populariti K-pop, drama atau selebriti tetapi didorong oleh ekosistem industri yang melibatkan penulis, penerbit, pengarah, pemuzik, pemasar, platform dan penonton.

Sehubungan itu, ujar beliau, kandungan yang mempunyai potensi tembus pasaran global perlu menggabungkan perincian tempatan dengan emosi supaya cerita berkenaan dapat difahami merentasi perbezaan bahasa dan budaya.

“Gunakan elemen tempatan tetapi sampaikan emosi yang boleh diterima secara global. Itu sangat penting.

“Emosi membolehkan penonton membayangkan diri mereka berada dalam cerita tersebut walaupun latar belakang budaya mereka berbeza,” katanya.

Ujar beliau, negara ini sebenarnya mempunyai banyak cerita dan kandungan yang berpotensi diketengahkan ke peringkat antarabangsa tanpa perlu menghilangkan identiti tempatan.

Beliau turut memberi contoh filem dan animasi Malaysia yang mengangkat unsur tempatan tetapi masih mampu menarik perhatian penonton luar negara.

“Cerita yang sangat Malaysia juga boleh mempunyai daya tarikan kepada penonton antarabangsa apabila ia membawa emosi seperti keluarga, cinta, kesetiaan dan budaya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, perkembangan platform digital seperti Netflix dan YouTube juga membuka ruang lebih besar kepada pencipta kandungan tempatan untuk mencapai penonton di luar negara.

Menurutnya, industri kandungan yang mampan memerlukan pembangunan bakat dan ekosistem yang mampu melahirkan karya baharu secara berterusan.

“Mereka inilah figura yang mungkin tidak kelihatan di hadapan skrin, tetapi menjadi penggerak sebenar industri kandungan,” katanya.