PUTRAJAYA - Krisis yang melanda Tabung Haji (TH) berpunca daripada kelemahan tadbir urus dan pengurusan, bukannya disebabkan salah guna kuasa.
Laporan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 menyatakan, pelbagai masalah yang berlaku adalah hasil gabungan beberapa faktor.
Menurut laporan itu, ia termasuk pembayaran hibah yang tidak mampan, keputusan pelaburan berisiko tinggi, amalan perakaunan yang tidak sesuai serta kelemahan sistem tadbir urus.
Jelas laporan berkenaan, suruhanjaya tidak membuat sebarang dapatan bahawa berlaku salah guna kuasa oleh mana-mana individu walaupun beberapa transaksi mencurigakan dan pelaburan bermasalah dikenal pasti sepanjang siasatan.
Bagaimanapun, RCI mengesyorkan audit forensik dijalankan terhadap beberapa pelaburan bagi menentukan sama ada wujud pelanggaran undang-undang atau salah laku yang memerlukan tindakan lanjut.
ARTIKEL BERKAITAN: Laporan RCI TH setebal 211 halaman diterbitkan
RCI dedah pelantikan ahli politik dalam TH jejaskan kredibiliti institusi
RCI syor Akta Tabung Haji dipinda, kuasa menteri terlalu luas
Kuasa menteri tamatkan khidmat pimpinan TH tanpa sebab perlu dikaji semula
RCI Tabung Haji: Keputusan hibah, bantuan haji dipengaruhi unsur politik
Hibah tinggi 2014 hingga 2017 lampaui kemampuan kewangan LTH
RCI Tabung Haji: Amalan bonus terlalu tinggi perlu dihentikan
RCI Tabung Haji: Panel Pelaburan TH perlu diperuntukkan semula dalam Akta 535
Media sebelum ini melaporkan, Jemaah Menteri bersetuju menyahklasifikasikan dan mendedahkan Laporan RCI mengenai pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 selepas menerima taklimat daripada pengurusan tertinggi TH serta memperhalusi kandungan laporan itu dalam mesyuarat kabinet.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, laporan tersebut mengandungi 25 syor penambahbaikan, dengan 75 peratus daripadanya telah berjaya dilaksanakan oleh pengurusan tertinggi TH.
Laporan itu turut mendapati proses membuat keputusan pelaburan di TH tidak dilaksanakan secara tersusun selain berlaku kelemahan koordinasi antara pengurusan kanan, Panel Pelaburan dan pihak berkaitan.
"Proses membuat keputusan pelaburan didapati tidak teratur, tidak jelas serta gagal memastikan semakan yang mencukupi, sekali gus menyumbang kepada berlakunya pelaburan yang bermasalah," menurut laporan itu.
RCI turut menegaskan bahawa walaupun terdapat transaksi yang mencurigakan dan beberapa pelaburan bermasalah, audit forensik wajar dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujud pelanggaran undang-undang atau salah laku yang memerlukan tindakan selanjutnya.